Friday, June 16, 2023

TAKKAN TAK SEDAR HARGA SUSU FORMULA NAIK DI PASARAN? - UTUSAN MALAYSIA - 16/06/2023

 

RAMAI mempertikaikan tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub apabila beliau meminta seorang penonton sesi Town Hall Rakyat, baru-baru ini menunjukkan bukti sekiranya benar harga barangan di pasaran meningkat.

Ketika menjawab soalan tersebut, beliau berulang kali menyebut tentang harga ‘barang kawalan’ sedangkan semua mengetahui bahawa barangan di bawah skim harga kawalan tidak mungkin boleh naik sesuka hati. Sebaliknya, apa yang dipertikaikan orang awam adalah berhubung harga barang lain yang mencanak naiknya.

Sejak dua minggu lalu kecoh di media sosial tentang kenaikan mendadak harga susu formula kanak-kanak antara RM10 hingga RM30 yang amat memberi bebanan kepada ibu bapa sedangkan dalam masa sama, harga lampin pakai buang dan yuran bulanan taska serta prasekolah turut meningkat. Bayangkan, harga susu formula berharga RM189 untuk 1.8 kilogram (kg) sebelum ini naik kepada RM208 sejak dua minggu lalu. Bayangkan, ia perlu dibeli sebanyak empat kotak untuk sebulan. Ini bermakna perlu membelanjakan lebihan RM76 sebulan bagi memastikan keperluan anak kecil dipenuhi sekali gus menyebabkan ramai ibu bapa ‘lari bajet’ walaupun pada awal bulan.

Seorang rakan pula mengadu perkara sama apabila susu formula bagi anaknya yang berusia setahun lebih naik sebanyak RM30 bagi 1.2kg dan dia terpaksa berbelanja lebihan RM60 untuk menampung keperluan anaknya untuk tempoh sebulan.

Tidak pasti sama ada KPDN sedar atau tidak perkara ini tetapi ini adalah salah satu bukti kenaikan harga barang yang naik secara mendadak.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader ketika dihubungi menyedari ribuan pembeli susu formula kanak-kanak terpaksa menanggung beban akibat kenaikkan harga yang selalu sangat terjadi.

“Ia sememangnya mendatangkan kegusaran khususnya bagi kumpulan berpendapatan rendah kerana harga bagi beberapa barangan keperluan harian dilihat naik secara mendadak, iaitu sehingga lebih 50 peratus,” katanya.

Justeru, beliau menyeru KPDN untuk memeriksa sama ada kenaikkan ini adalah wajar selain tidak mahu pengeluar dan pemborong mengambil keuntungan berlipat kali ganda daripada perbelanjaan dikeluarkan oleh pengguna selain meletakkannya di bawah harga kawalan bagi menstabilkan harga produk berkenaan.

SABOTAJ

Turut senada, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang meminta kerajaan meletakkan susu formula di bawah senarai barang kawalan memandangkan minuman itu penting untuk perkembangan pembesaran anak-anak selain melihat keperluan untuk meletakkannya di bawah undang-undang sabotaj.

“Kerajaan perlu lihat semula kerana wujud kemungkinan ia berkaitan sabotaj kepada rakyat mahupun kerajaan. Apa pun, ia tetap memberi kesan besar kepada rakyat dan kita tidak boleh membenarkannya berlaku.

“Selain itu, syarikat-syarikat pemborong perlu dikawal selia agar dapat mengelakkan permainan harga,” ujarnya.

Justeru, Nadzim meminta orang ramai untuk berani tampil mendedahkan perkara ini kepada persatuan pengguna agar satu tindakan holistik dapat diambil bagi membendung kenaikan harga yang melampau.“Rakyat boleh bersama kerajaan dengan memberi maklumat kenaikan harga supaya kerajaan boleh mengambil tindakan segera. 

Kalau orang tak lapor dengan betul pun susah juga. Mungkin bila ada laporan, ada orang tanya, kita pun tidak tahu. Itu kelemahan pengguna. Jadi, hari ini kena ubah, kalau tidak kita ‘mati,” katanya lagi.

BANTUT

Khairy Jamaluddin semasa memegang portfolio Menteri Kesihatan pernah menyatakan, masalah bantut tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja memberi cabaran kesihatan mental, fizikal mahupun pergaulan sosial tetapi lebih buruk, boleh membawa maut.

Malah, beliau ketika itu memberi keyakinan bahawa semua isu berkaitan nutrisi dan pemakanan akan ditangani oleh Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah Beban Berganda Melpemakanan Dalam Kanak-Kanak membabitkan penyediaan makanan serta akses bahagian makanan yang mencukupi untuk kanak-kanak seperti harga makanan daripada sumber protein dan harga susu formula mampu milik.

Namun apa jadi kini? Adakah aspek pemakanan seimbang yang menjadi tumpuan utama kerajaan tidak menyedari kenaikan harga susu formula di pasaran tempatan?Pada 2019, masalah bantut di negara ini adalah sebanyak 21.8 peratus dan kerajaan menyasarkan ia dapat dikurangkan kepada lapan peratus menjelang 2030. 

Faktor utama menyumbang masalah itu adalah kekurangan zat makanan. Pemakanan yang baik penting untuk tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak di semua peringkat khususnya dalam tempoh pembentukan, iaitu satu hingga lima tahun serta awal keremajaan (10 hingga 15 tahun).

Namun, sekiranya harga susu formula terus naik, maka kanak-kanak akan kekurangan nutrien seperti protein, kalsium dan vitamin untuk tumbesaran. 

Ini sekali gus akan menggagalkan usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar pembantutan dalam tempoh tujuh tahun lagi.Walaupun kita mempunyai Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah, namun masalah bantut ini melibatkan kanak-kanak pada 1,000 hari pertama kehidupan mereka. Ini bermakna kanak-kanak perlu dilengkapi nutrisi yang cukup sejak hari pertama dilahirkan.

Jadi, kerajaan perlu segera lihat cara bagaimana boleh membantu menyelesaikan masalah ini dengan melakukan semak dan imbang dengan memastikan harga susu formula kanak-kanak tidak dinaikkan sewenang-wenangnya. 

Cubalah ‘masuk’ dan fahami bebanan yang ditanggung oleh golongan kurang berkemampuan yang semakin ditekan dengan kos sara hidup melampau tingginya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

TAKKAN TAK SEDAR HARGA SUSU FORMULA NAIK DI PASARAN?

https://www.utusan.com.my/rencana/2023/06/takkan-tak-sedar-harga-susu-formula-naik-di-pasaran/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...