Wednesday, June 21, 2023

SUHAKAM DIGESA HENTI TERIMA DANA ASING - BERITA HARIAN - 19/06/2023


KUALA LUMPUR: Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk berhenti menerima dana asing bagi mengelakkan ia dikawal oleh sesetengah pihak berkepentingan.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias, berkata apabila tiada dana asing diterima oleh SUHAKAM, secara tidak langsung konsep hak asasi manusia itu lebih menyeluruh dan bertepatan dengan nilai budaya negara ini.

Beliau berkata, adalah wajar SUHAKAM memulangkan semula dana asing yang diterima daripada Kesatuan Eropah (EU) tahun lalu, bagi memastikan suruhanjaya berkenaan bebas dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

"Seksyen 19 Akta SUHAKAM juga melarang sama sekali menerima apa-apa dana asing kecuali untuk tujuan pendidikan dan kesedaran.

"Ini bagi melindungi kepentingan SUHAKAM daripada kuasa-kuasa asing yang mempergunakan badan itu untuk manfaat mereka.

"Justeru adalah lebih baik juga semua dana itu dipulangkan walaupun untuk tujuan pendidikan dan kesedaran memandangkan nilai yang ada dalam dana itu tidak menjurus kepada budaya dan Perlembagaan negara," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Lukman Sheriff berkata, SUHAKAM difahamkan sudah menerima tiga kali dana asing dan pada Disember 2022, organisasi itu dikatakan menerima RM2.3 juta termasuk daripada EU.

Beliau berkata, SUHAKAM juga perlu mengambil kira deklarasi hak asasi manusia yang disepakati oleh negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti Pengisytiharan Hak Asasi Manusia di Kaherah (CDHRI), Deklasi Hak Asasi Manusia Asean (ADHR) dan konvensyen antarabangsa yang diratifikasi negara ini.

"Ini kerana pada setiap masa, hak asasi manusia di negara ini perlulah berlandaskan Perlembagaan seperti termaktub dalam Akta SUHAKAM, bukanlah mengikut acuan barat di mana semua yang diformulasi oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu bersifat universal.

"Justeru kami juga menolak cadangan meratifikasikan secara pukal konvensyen atau deklarasi yang tidak mengambil kira peruntukan Perlembagaan seperti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan kajian untuk mengiktiraf gender ketiga," katanya.

Beliau berkata, sejak barisan Pesuruhjaya SUHAKAM penggal 2022-2025 dilantik, ada pihak yang kurang senang dengan konsep yang dilaksanakan memandangkan sebelum ini banyak mengikut nilai barat.

"Justeru kami mahu usaha bersepadu untuk menjatuhkan SUHAKAM oleh pihak lain dihentikan segera supaya badan ini terus inklusif membabitkan semua CSO Islam.

"Paling penting sekarang ialah SUHAKAM kekal berpegang kepada hak asasi manusia yang berlandaskan acuan Perlembagaan negara," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

SUHAKAM DIGESA HENTI TERIMA DANA ASING

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/06/1116436/suhakam-digesa-henti-terima-dana-asing

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...