Tuesday, June 6, 2023

CAJ KESIHATAN BERSASAR DIHALUSI - UTUSAN MALAYSIA - 03/06/2023


PUTRAJAYA: Kerajaan perlu me­nilai terlebih dahulu golongan yang patut membayar bayaran lebih tinggi bagi perkhidmatan di kli­nik kesihatannya sebelum kaedah bersasar dilaksanakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau mengakui caj RM1 yang diper­kenalkan sejak 1960-an ti­dak memadai, malah pada masa yang sama kerajaan perlu menanggung subsidi tinggi untuk kos rawatan kesihatan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu memerlukan kajian lanjut termasuk melihat kesesuaian akta berkaitan memandangkan golongan rakyat terbanyak adalah B40, apatah lagi masih ramai yang terkesan de­ngan pandemik Covid-19.

Katanya, perkara itu juga an­tara cadangan pembaharuan da­lam sistem perbelanjaan pembiayaan kesihatan menerusi Ker­­tas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen.

“Kita bayar RM1 sejak kecil lagi, tapi dengan bayaran seba­nyak itu kita dapat stok macam-macam ubat, itu belum lagi termasuk perkhidmatan lain kalau buat x-ray, tak perlu bayar lebih pun. Jadi adakah sistem macam itu boleh kekal selama-lamanya?

“Memang betul caj RM1 (tidak logik), maksudnya orang mula faham, media juga memainkan peranan, tetapi sudah tentu kena ada pelan yang benar-benar strategik termasuk mengadakan libat urus dengan pakar ekonomi serta melihat kadar bayaran di negara luar juga.

“Mungkin kalau nak dilaksanakan (caj tinggi) adalah secara bersasar, perkara itu sedang diperhalusi, apa yang paling baik dilakukan sama ada nak naikkan caj, kepada siapa nak dilaksanakan, atau memperkenalkan sistem insurans kesihatan,” katanya ketika diwawancara di Putrajaya di sini, semalam.

Beliau ditanya mengenai pandangan beberapa pakar perubatan berhubung caj RM1 yang dikenakan klinik kesihatan kerajaan wajar dinaikkan kepada RM5 hingga RM20 kerana fi sedia ada disifatkan tidak masuk akal terutama ketika nilai kos rawatan semakin meningkat.

Berbanding klinik swasta, rawatan demam atau selesema sahaja, caj sebanyak RM70 hingga RM90 akan dikenakan bagi konsultasi dan ubat-ubatan.

Malah, sekiranya kerajaan menaikkan kepada RM10, ia masih dikira murah dan berbaloi kerana konsultasi dan ubatan yang ditawarkan di klinik kerajaan setaraf dengan klinik swasta.

Caj RM1 tidak menggambarkan nilai kos rawatan sebenar mahupun kerja kakitangan kementerian yang sudah overwork dengan tugasan harian mereka.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata, beliau akan memohon tambahan peruntukan bagi perbelanjaan sektor kesihatan awam untuk Belanjawan 2024 demi mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan lebih baik khususnya dalam mengurangkan kes kesesakan di hospital.

Katanya, perkara berkaitan perbelanjaan turut termasuk dalam tonggak ketiga Kertas Putih Kesihatan iaitu cadangan pembaharuan sistem kesihatan dalam aspek perbelanjaan kerana ketika ini sektor ini hanya meliputi 2.2 peratus dari keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPUM), Datuk Nadzim Johan berkata, cadangan caj RM5 bagi menggantikan RM1 untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik kerajaan masih lagi rendah tidak membebankan rakyat.

Katanya, ia dianggap wajar kerana masih rendah daripada tiada caj langsung dikenakan untuk setiap rawatan di klinik kerajaan.

“Contohnya, saya ada jumpa individu yang mana apabila doktor yang merawat memberikan ubat kepadanya untuk dibawa pulang, adakala ia (ubat) tidak dimakan. Bila ubat-ubat ini dibuang, ia merugikan,” katanya.


Artikel oleh: Utusan Malaysia

CAJ KESIHATAN BERSASAR DIHALUSI

https://www.utusan.com.my/berita/2023/06/caj-kesihatan-bersasar-dihalusi/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...