Friday, June 16, 2023

DEDAH NAMA VIP TERLIBAT - SINAR HARIAN - 16/06/2023

 

SHAH ALAM - Pelbagai pihak mendesak kerajaan mendedahkan nama ahli politik yang melindungi tauke judi dalam talian dan menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka jika didapati bersalah.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Othman berkata, hukuman keras wajar dikenakan termasuk penjara seumur hidup yang sekali gus akan menamatkan kerjaya politik individu terbabit.

"Kerajaan bukan sahaja wajar mendedahkan nama ahli politik itu bahkan perlu jatuhkan hukuman berat sekiranya dia didapati bersalah selepas dibawa ke muka pengadilan.

"Jika perlu dibuat pindaan undang-undang untuk membolehkan mereka terima hukuman berat, wajarlah pindaan berkenaan dibuat," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa sidang Dewan Rakyat pada Khamis mendedahkan terdapat 'naungan politik' yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.

Menurut Saifuddin, keadaan itu menjadi kekangan terbesar dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

Mengulas lanjut, Maamor menegaskan, tindakan tegas perlu dibuat bagi menunjukkan kerajaan tidak berkompromi dengan perbuatan jenayah dan salah guna kuasa golongan 'kenamaan' atau VIP.

"Adalah munasabah menghukum ahli politik yang menjadi dalang perbuatan jenayah dengan hukuman maksimum atau berat kerana ia akan memberi impak yang cukup besar kepada pelaku yang lain.

"Kalau setakat 'ikan bilis' sahaja yang ditangkap dan dikenakan hukuman, 'jerung' dan 'harimau' yang lain tak akan rasa tergugat.

"Kalau semuanya 'kena', ia akan beri mesej yang betul bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam hal-hal berkaitan judi kerana ia boleh merosakkan ekonomi dan meruntuhkan sosial rakyat," ujarnya.

Senada dengan PPIM, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim yang menganggap pendedahan nama individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah itu dapat membantu menjaga akauntabiliti dan memberikan amaran kepada mereka yang terlibat dengan kegiatan yang melanggar undang-undang.

"Ia juga boleh memberi keyakinan kepada orang awam bahawa tindakan bersungguh-sungguh sedang diambil untuk menangani isu tersebut.

"Bagaimanapun, keputusan untuk dedahkan nama-nama tersebut adalah bergantung kepada undang-undang dan proses yang sedia ada di negara ini," katanya.

Jais menegaskan, sangat penting kepada kerajaan untuk menegakkan keadilan dan integriti dalam menangani kesalahan yang melibatkan ahli politik atau individu dalam jawatan awam.

"Ini untuk memastikan tidak ada pihak yang terkecuali daripada undang-undang dan semua individu tunduk kepada hukuman yang setimpal jika didapati bersalah," jelasnya.

Begitu juga dengan, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang berkata, kerajaan perlu mendedahkan identiti ahli politik itu datang daripada parti mana.

"Saya mohon kerajaan dedahkan (nama ahli politik dan partinya) serta buat siasatan sesegera mungkin (ke atas individu terbabit)."

Jangan melindungi petualang sebegini walau sebesar mana pun pangkatnya," ujarnya.

 Orang politik jangan salah guna kuasa - Lam Thye 

SHAH ALAM - Orang politik digesa menghindari perbuatan negatif yang boleh menjatuhkan nama baik khususnya skandal dan jenayah demi penghormatan dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat. 

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata demikian susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat pada Khamis yang mendedahkan terdapat 'naungan politik' yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini. 

Lam Thye berkata, individu tersebut perlu menjaga reputasi dan menunjukkan teladan yang baik supaya tidak menimbulkan kemarahan sekali gus hilang sokongan rakyat disebabkan sikap 'tamak'. 

"Bagi mereka yang terlibat dalam politik, mesti memahami fungsi, objektif dan menjadi teladan kepada orang ramai. 

"Jika mahu mendapat sokongan rakyat maka orang politik itu perlu berkelakuan baik, tidak terlibat dalam skandal, jenayah dan perkara yang bertentangan dengan undang-undang. 

"Mereka perlu sedar sebagai orang politik, memang tidak lari daripada memasang cita-cita besar, iaitu mahu menjadi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan menteri tetapi mesti menjadi yang terbaik dan elakkan perkara yang boleh memburuk reputasi khususnya jenayah," katanya kepada Sinar Harian. 


Artikel oleh: Sinar Harian

DEDAH NAMA VIP TERLIBAT

https://www.sinarharian.com.my/article/263713/berita/nasional/dedah-ahli-politik-dalang-judi

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...