Wednesday, June 21, 2023

SUHAKAM PERLU PULANG SEMULA DANA DARIPADA EU - MALAYSIA TRIBUNE - 19/06/2023

 

KUALA LUMPUR – Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) mendesak supaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memulangkan semula dana yang diperoleh daripada Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias, gesaan itu adalah susulan daripada dakwaan yang mengatakan ada pihak tertentu mahu mengawal dana tersebut.

“Kami ingin menegaskan bahawa Seksyen 19 Akta Suhakam melarang sama sekali Suhakam menerima apa-apa dana asing kecuali bagi tujuan pendidikan dan kesedaran.

“Akta ini diadakan bagi melindungi Suhakam dari kepentingan kuasa asing yang mempergunakan Suhakam bagi manfaat mereka.

“Lebih baik dana tersebut dipulangkan walaupun bagi tujuan pendidikan dan kesedaran demi menjamin kebebasan Suhakam,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan serta wakil daripada Pembela Islam (PEMBELA) serta Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Mengulas lanjut Lukman berkata, butir penerimaan dana asing oleh Suhakam sebelum ini dan siapa yang mendapat manfaat dari dana tersebut juga perlu diumumkan secara terbuka.

Tambahnya lagi, beliau turut memuji pengurusan baharu Suhakam kerana dilihat lebih terbuka dalam menjalankan libat urus khususnya bersama CSO Islam yang sebelum ini seperti dipinggirkan.

Tahun lalu, media melaporkan Delegasi EU ke Malaysia bersama Suhakam telah menandatangani kontrak untuk melaksanakan projek hak asasi manusia selama tiga tahun dengan anggaran geran berjumlah Euro 500,000 (RM2.31 juta).

Artikel oleh: Malaysia Tribune

SUHAKAM PERLU PULANG SEMULA DANA DARIPADA EU


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...