Wednesday, June 21, 2023

NGO ISLAM: SUHAKAM KINI LEBIH INKLUSIF, TAK MACAM DULU - MALAYSIA KINI - 19/06/2023


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini mempertahankan barisan pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang baru.

Jurucakapnya, Lukman Sheriff Alias daripada Malaysian Alliance of Civil Society Organisations berkata, Suhakam diserang beberapa pihak yang mahu mengawal suruhanjaya itu bagi mencapai agenda mereka sendiri.

Mereka juga mendakwa kemelut yang berlaku dalam Suhakam sebelum ini disebabkan oleh pembiayaan asing yang diterima daripada Kesatuan Eropah.

"Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan untuk memberi gambaran yang salah dan mengelirukan kepada umum. Kami ingin membetulkan beberapa gambaran salah yang dibangkitkan daripada amatan kami.

"Pertamanya, kami ingin menyatakan bahawa Suhakam kini lebih inklusif berbanding dahulu. Sesi libat urus Suhakam kini bukan sahaja dengan CSO-CSO kiri yang membawa aspirasi liberal tetapi telah terbuka dan menyantuni CSO-CSO Islam yang terlibat dalam advokasi Hak Asasi Manusia (HAM)," ujarnya dalam sidang media petang ini.

Antara NGO Islam yang menyokong kepimpinan baru Suhakam ialah Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam (PPIM).

Sidang media itu diadakan beberapa hari selepas Suhakam dan pengerusinya Rahmat Mohamad mendapat kecaman berhubung saman yang difailkan terhadap timbalan setiausaha suruhanjaya itu, Shahizad Sulaiman bulan lepas.

Suhakam juga baru-baru ini juga diselar oleh beberapa NGO kerana didakwa "senyap".

Lukman berkata, sejak barisan Pesuruhjaya Suhakam yang baru bagi penggal 2022-2025 dilantik, pihaknya telah berjaya mengadakan beberapa sesi libat urus bersama Suhakam.

“Sebagai contoh MACSA telah bekerjasama dengan SUHAKAM dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bengkel literasi HAM pada awal tahun ini. Peguam MACSA juga telah dijemput mewakili SUHAKAM dalam "watching brief kes-kes mahkamah mewakili Suhakam dan dijemput menghadiri kursus serta seminar mengenai proses semakan berkala sejagat (Universal Periodic Review atau UPR).

"Ini jauh berbeza dari dahulu di mana CSO Islam tidak dilayan dan disisihkan," ujarnya.

Katanya, pendekatan Suhakam sebelum ini dilihat seperti mengiktiraf HAM acuan Barat secara bulat-bulat dengan menganggap semua yang diformulasikan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sesuatu yang bersifat "universal".

Menurut Lukman, perebutan kuasa dalam Suhakam disebabkan isu kira-kira RM2 juta bantuan kewangan yang diterima daripada EU, di mana pihak tertentu didakwa mahu mengawal cara dana itu digunakan.

Kumpulan itu juga menggesa Suhakam memulangkan dana itu kepada EU untuk mengekalkan sikap berkecuali dan tidak berat sebelah mereka.

Tambahnya, pengerusi bersama MACSA Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, beberapa kajian yang dijalankan mendapati dana asing yang disalurkan melalui Suhakam tidak bebas dan didakwa bercampur dengan nilai Barat.

Artikel oleh: MalaysiaKini

NGO ISLAM: SUHAKAM KINI LEBIH INKLUSIF, TAK MACAM DULU

https://www.malaysiakini.com/news/669234

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...