Wednesday, September 20, 2017

4069) Siapa tak sedih, semua duit yang saya kumpul habis macam ini - Malaysia Gazette - 20/9/2017

Snapshot(2)
KUALA LUMPUR  – Usaha 200 pembeli projek mini banglo berharga RM60,000 seunit mahu menuntut pembelaan kerana ditipu oleh pihak pemaju ternyata menemui jalan buntu apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang diharapkan untuk membantu mereka juga tidak mampu berbuat apa-apa.
Mereka yang berkumpul di pejabat PPIM hari ini hanya dapat bertemu dengan Datuk Norul Iman Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Datuk Boy Iman, iaitu wakil DBI Properties yang pernah menjadi ejen pemasaran kepada Juta Kelulut ketika melancarkan promosi projek Mini Banglo pada Mei tahun lalu.
Juta Kelulut Sdn Bhd merupakan syarikat pemaju yang bertanggungjawab ke atas projek mini banglo tersebut.
Menjawab satu persatu soalan para pembeli, Boy Iman menjelaskan, beliau juga antara mangsa penipuan skim tersebut sambil menyebut beberapa nama yang membayarnya untuk menubuhkan syarikat DBI Technology Sdn Bhd bagi memasarkan rumah berkenaan.
Rentetan daripada pertemuan itu, kesemua mangsa dan pihak PPIM bergerak ke Setapak bagi menjejaki pejabat pihak yang bertanggungjawab yang nama mereka telah disebutkan oleh Boy Iman.

Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi (dua kiri) bersama ahli-ahli UTK PPIM dan salah seorang mangsa penipuan Puan Ku Shahrom Ku Ahmad,65, (kanan) mendengar penerangan dari salah seorang Agen Pemasaran Perumahan yang dikehendaki Puan Siti Nurbaiyah Yahya lebih dikenali sebagai Anggun (dua kanan) ketika menunjukkan dokumen pembelian semasa UTK PPIM bersama mangsa-magsa penipuan menyerbu pejabat berikutan kes laporan penipuan skim pembinaan rumah system bangunan industri (IBS) oleh mangsa di Starparc Point, Setapak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 SEPTEMBER 2017

Sebaik tiba di pejabat Juta Kelulut, mereka dipertemukan dengan Siti Nurbaiyah Yahya yang lebih dikenali sebagai Anggun dan suasana menjadi kecoh apabila mangsa-mangsa yang tertipu menjerit-jerit menuntut penjelasan lanjut.
Anggun bagaimanapun menjelaskan, beliau juga cuma bertindak sebagai ejen dan telah menyerahkan kesemua wang kepada pihak lain.
Tambahnya, beliau hanya diberi RM6 juta untuk membeli peralatan pembinaan dan menyebut nama dua individu yang bertanggungjawab mengambil wang tersebut yang sehingga kini tidak diketahui statusnya.
Kesemua mangsa hampa kerana matlamat mereka untuk menuntut wang masih belum tercapai.

Temubual bersama salah seorang mangsa penipuan skim pembinaan rumah system bangunan industri (IBS), Puan Ku Shahrom Ku Ahmad,65, di Starparc Point, Setapak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 SEPTEMBER 2017

Salah seorang mangsa, Ku Shahrom Ku Ahmad, 65, sanggup datang dari Langkawi semata-mata mahu mendapatkan wangnya kembali.
Beliau mendakwa telah mengeluarkan wang simpanannya sepanjang berkhidmat dengan kerajaan berjumlah RM50,000 untuk membina rumah di Langkawi.
“Mak cik dapat tahu dia buat promosi masa di Langkawi. Anak mak cik ajak sebab harganya murah. Dia cakap masa tu bayar RM50,000 saja sebab ada promosi untuk bina rumah tiga bilik.
“Mak cik ingat nak buat rumah untuk anak mak cik. Tapi tak sangka jadi macam ni. Siapa tak sedih, dengan duit yang kita kumpul jadi macam ni,” katanya sebak.

Temubual bersama salah seorang mangsa penipuan skim pembinaan rumah system bangunan industri (IBS), Nurzafirah Alimuddin,29, di Starparc Point, Setapak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 SEPTEMBER 2017

Seorang lagi mangsa, Nurzafirah Alimuddin, 29, memberitahu, dia membayar RM60,000 menggunakan wang simpanan dan menjual rumah milik ibunya.
Bagaimanapun dia mula rasa tertipu apabila rumah yang sepatutnya dibina tiga bulan selepas pembayaran masih tidak menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, Nurzafirah menjelaskan dia sudah mendapat RM30,000 dari Norul Iman awal tahun lalu setelah enam bulan membayarnya.
“Ikutkan saya masih tak puas hati dengan apa terjadi hari ni, tapi apa boleh buat,” ujar Nurzafirah.
Aktivis PPIM, Yusuf Azmi memberitahu, pihaknya telah mendesak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes tersebut kerana aduan telah dilakukan.
Namun sehingga kini, PDRM masih belum memberi maklum balas terhadap aduan yang dibuat.
Projek mini banglo yang menggunakan sistem pembinaan industri (IBS) mendapat sambutan sambutan hangat kerana harga yang ditawarkan menarik dan mampu bayar.
Namun orang ramai yang membeli rumah berkenaan mula berasa tertipu kerana sehingga lebih setahun tiada sebarang pembinaan dijalankan.-Malaysia Gazette

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL