TULAR menerusi media sosial tempatan apabila tersebar rakaman video menunjukkan Yusuf Azmi gagal mengawal marah apabil bertengkar dengan seorang wakil pemaju sebuah projek banglo mini.
Kisahnya bermula apabila ratusan pembeli rumah yang dimajukan DBI Technology menyerbu pejabat syarikat itu di ibu negara kerana didakwa menipu ‘songlap’ deposit dengan tawaran harga terlalu murah iaitu RM45,000 sebuah.
Kes itu turut menyaksikan pelakon era 1990-an, Datuk Dr. Norul Iman Abdul Rahman atau Boy Iman diheret’ ke sesi soal jawab bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang bertindak sebagai orang tengah kes itu.
Malangnya, isu pembeli teraniaya dalam projek perumahan banglo kos rendah tersebut ‘tenggelam’ apabila netizen dikejutkan dengan rakaman video memaparkan Yusuf mengasari seorang lelaki dikatakan wakil DBI Technology.
Video tersebut kemudian diperbesarkan pula oleh pihak tertentu yang diketahui memang ‘tidak baik’ dengan PPIM ekoran kelantangan badan bukan kerajaan itu aktif dalam membela nasib pengguna ditindas tanpa pembelaan.
Susulan banyak cerita kurang baik, Yusuf yang juga Ketua Unit Tindakan Khas PPIM tampil menerusi rakaman video berdurasi 6.22 minit bagi menjelaskan tohmahan pihak terbabit dan mendedahkan versi sebenar kes itu.
Beliau turut memohon maaf atas insiden di luar jangkaan tersebut sambil menegaskan tindakan spontannya itu berlaku tanpa dirancang akibat provokasi wakil syarikat berkenaan yang menyebabkan dirinya terus hilang sabar.
Yusuf malah berharap semoga kes tersebut dapat diselesaikan dan aksi ‘panas’ baran beliau yang tular itu tidak pula diperbesarkan. Langkah aktivis PPIM ini turut menerima pujian ramai netizen sebagai individu bertanggungjawab.
Namun apa yang lebih penting ialah mengenai nasib kumpulan pembeli kediaman diabaikan oleh pihak pemaju sepatutnya diberi tumpuan berbanding isu babak pertengkaran ditularkan tersebut. – Mynewshub.cc/HAA
KUALA LUMPUR – Usaha 200 pembeli projek mini banglo berharga RM60,000 seunit mahu menuntut pembelaan kerana ditipu oleh pihak pemaju ternyata menemui jalan buntu apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang diharapkan untuk membantu mereka juga tidak mampu berbuat apa-apa.
Mereka yang berkumpul di pejabat PPIM hari ini hanya dapat bertemu dengan Datuk Norul Iman Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Datuk Boy Iman, iaitu wakil DBI Properties yang pernah menjadi ejen pemasaran kepada Juta Kelulut ketika melancarkan promosi projek Mini Banglo pada Mei tahun lalu.
Juta Kelulut Sdn Bhd merupakan syarikat pemaju yang bertanggungjawab ke atas projek mini banglo tersebut.
Menjawab satu persatu soalan para pembeli, Boy Iman menjelaskan, beliau juga antara mangsa penipuan skim tersebut sambil menyebut beberapa nama yang membayarnya untuk menubuhkan syarikat DBI Technology Sdn Bhd bagi memasarkan rumah berkenaan.
Rentetan daripada pertemuan itu, kesemua mangsa dan pihak PPIM bergerak ke Setapak bagi menjejaki pejabat pihak yang bertanggungjawab yang nama mereka telah disebutkan oleh Boy Iman.
Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi (dua kiri) bersama ahli-ahli UTK PPIM dan salah seorang mangsa penipuan Puan Ku Shahrom Ku Ahmad,65, (kanan) mendengar penerangan dari salah seorang Agen Pemasaran Perumahan yang dikehendaki Puan Siti Nurbaiyah Yahya lebih dikenali sebagai Anggun (dua kanan) ketika menunjukkan dokumen pembelian semasa UTK PPIM bersama mangsa-magsa penipuan menyerbu pejabat berikutan kes laporan penipuan skim pembinaan rumah system bangunan industri (IBS) oleh mangsa di Starparc Point, Setapak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 SEPTEMBER 2017
Sebaik tiba di pejabat Juta Kelulut, mereka dipertemukan dengan Siti Nurbaiyah Yahya yang lebih dikenali sebagai Anggun dan suasana menjadi kecoh apabila mangsa-mangsa yang tertipu menjerit-jerit menuntut penjelasan lanjut.
Anggun bagaimanapun menjelaskan, beliau juga cuma bertindak sebagai ejen dan telah menyerahkan kesemua wang kepada pihak lain.
Tambahnya, beliau hanya diberi RM6 juta untuk membeli peralatan pembinaan dan menyebut nama dua individu yang bertanggungjawab mengambil wang tersebut yang sehingga kini tidak diketahui statusnya.
Kesemua mangsa hampa kerana matlamat mereka untuk menuntut wang masih belum tercapai.
Temubual bersama salah seorang mangsa penipuan skim pembinaan rumah system bangunan industri (IBS), Puan Ku Shahrom Ku Ahmad,65, di Starparc Point, Setapak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 SEPTEMBER 2017
Salah seorang mangsa, Ku Shahrom Ku Ahmad, 65, sanggup datang dari Langkawi semata-mata mahu mendapatkan wangnya kembali.
Beliau mendakwa telah mengeluarkan wang simpanannya sepanjang berkhidmat dengan kerajaan berjumlah RM50,000 untuk membina rumah di Langkawi.
“Mak cik dapat tahu dia buat promosi masa di Langkawi. Anak mak cik ajak sebab harganya murah. Dia cakap masa tu bayar RM50,000 saja sebab ada promosi untuk bina rumah tiga bilik.
“Mak cik ingat nak buat rumah untuk anak mak cik. Tapi tak sangka jadi macam ni. Siapa tak sedih, dengan duit yang kita kumpul jadi macam ni,” katanya sebak.
Temubual bersama salah seorang mangsa penipuan skim pembinaan rumah system bangunan industri (IBS), Nurzafirah Alimuddin,29, di Starparc Point, Setapak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 SEPTEMBER 2017
Seorang lagi mangsa, Nurzafirah Alimuddin, 29, memberitahu, dia membayar RM60,000 menggunakan wang simpanan dan menjual rumah milik ibunya.
Bagaimanapun dia mula rasa tertipu apabila rumah yang sepatutnya dibina tiga bulan selepas pembayaran masih tidak menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, Nurzafirah menjelaskan dia sudah mendapat RM30,000 dari Norul Iman awal tahun lalu setelah enam bulan membayarnya.
“Ikutkan saya masih tak puas hati dengan apa terjadi hari ni, tapi apa boleh buat,” ujar Nurzafirah.
Aktivis PPIM, Yusuf Azmi memberitahu, pihaknya telah mendesak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes tersebut kerana aduan telah dilakukan.
Namun sehingga kini, PDRM masih belum memberi maklum balas terhadap aduan yang dibuat.
Projek mini banglo yang menggunakan sistem pembinaan industri (IBS) mendapat sambutan sambutan hangat kerana harga yang ditawarkan menarik dan mampu bayar.
Namun orang ramai yang membeli rumah berkenaan mula berasa tertipu kerana sehingga lebih setahun tiada sebarang pembinaan dijalankan.-Malaysia Gazette
KUALA LUMPUR 28 April – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terus komited membantu masyarakat yang berdepan dilema termasuk permasalahan berurusan dengan ah long.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, satu unit khas di bawah PPIM yang ditubuhkan sejak sembilan tahun lalu menerima tidak kurang 40,000 aduan serta berurusan dengan lebih 63,000 ah long.
Beliau berkata, PPIM pada mulanya tidak menjadikan isu ah long sebagai sebahagian daripada perjuangannya namun disebabkan ramai yang terjebak dan tiada organisasi yang mampu membela, maka pihaknya tampil menawarkan bantuan.
“Peranan PPIM adalah untuk menjadi orang tengah ataupun perantara bagi pihak peminjam dengan ah long memandangkan kebanyakannya sudah tidak berani berjumpa dengan ah long untuk berbincang mengenai kadar bunga dan pinjaman yang perlu dibayar.
“Ada juga pengadu hanya berjumpa dengan wakil PPIM apabila ada dalam kalangan ahli keluarga mereka sudah diculik dan keselamatan mereka terancam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Nadzim, sesiapa sahaja yang mempunyai masalah dengan ah long boleh menghubungi PPIM bagi menyelesaikan konflik tersebut.
“Kebiasaannya, mereka dinasihatkan menghubungi nombor yang kami berikan dan kemudian satu perjumpaan akan diadakan bersama pengadu bagi membolehkan PPIM mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci.
“Kes melibatkan ah long bukan sesuatu benda yang mudah atau boleh dipandang ringan tetapi perlu lebih berhati-hati apabila berurusan dengan mereka walaupun sudah ada ah long yang mengenali PPIM dan memberi kerjasama yang agak baik,” jelasnya.
Menurutnya lagi, daripada kes yang diterima, kira-kira 75 hingga 85 peratus berjaya diselesaikan melalui proses rundingan.
Bagi yang ingin mendapatkan bantuan, hubungi 019-9130000 atau Unit Tindakan Khas PPIM (03-40504454).