KUALA LUMPUR: Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada harga RM2.10 seliter menerusi mekanisme MyKad bermula 1 Julai, dilihat mampu mengurangkan ketirisan subsidi kerajaan, sekali gus memastikan bantuan disalurkan terus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pendekatan subsidi bersasar lebih mampan berbanding subsidi pukal, kerana ia membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan secara lebih tepat kepada kumpulan sasar.
"Melalui pendekatan subsidi harga bersasar, golongan yang bergantung kepada bahan api tersebut untuk bekerja atau menjalankan perniagaan termasuk pengusaha yang menggunakan jentera dan mesin berasaskan diesel, dapat menikmati kos operasi yang lebih rendah secara langsung," katanya ketika dihubungi Bernama.
Ahmed Razman berkata, subsidi bersasar mempunyai peranan berbeza daripada bantuan tunai. Bantuan tunai memberi fleksibiliti kepada isi rumah untuk menguruskan perbelanjaan harian, manakala subsidi harga berfungsi mengawal kos pengeluaran, logistik dan pengangkutan.
Bagaimanapun, beliau berkata kejayaan pelaksanaan BUDI Diesel bergantung kepada ketepatan data penerima serta keupayaan sistem teknologi menyokong proses pengagihan, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan capaian Internet.
"Cabaran untuk pastikan BUDI Diesel ini adalah dari segi data penerima yang layak dan sentiasa dikemas kini, supaya tidak ada yang mengadu terlepas pandang. Mekanisme maklum balas atau rayuan mesti dilaksanakan dengan cepat dan telus, kerana keberkesanan BUDI diesel ini bergantung kepada data yang tepat," katanya.
Ahmed Razman berkata, pelaksanaan subsidi bersasar juga berpotensi mengurangkan beban fiskal kerajaan, kerana ia mengehadkan manfaat subsidi kepada kumpulan yang layak, sekali gus mengelakkan golongan berpendapatan tinggi dan warga asing daripada turut menikmati bantuan tersebut.
"Penjimatan ini memberi ruang kepada kerajaan memfokuskan dana kepada sektor berimpak tinggi seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan infrastruktur. Pertumbuhan ini boleh diukur melalui kadar inflasi yang terkawal dan kos sara hidup yang kompetitif," katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penggunaan MyKad sebagai sistem pengesahan utama bagi pengagihan subsidi, merupakan langkah sistematik yang telah terbukti berjaya.
"Kita telah saksikan mekanisme ini berjaya dilaksanakan bagi bahan api RON95. Justeru, mekanisme yang sama diguna untuk diesel dan kecekapan sistem ini dijangka akan menjimatkan sekitar RM2 billion, ia bersasar dan cekap," katanya.
Beliau berkata, pengurangan aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi, akan membantu kerajaan mengurus perbelanjaan subsidi dengan lebih berkesan dan konsisten.
"Sekiranya bahan api mula stabil dan pertumbuhan ekonomi semakin mengukuh, maka kerajaan boleh menimbangkan untuk agihkan subsidi mengikut tahap pendapatan, sekali gus kurangkan perbelanjaan subsidi bahan api pada masa akan datang," katanya.
Pada masa sama, beliau membangkitkan pemberian subsidi bahan api pada dasarnya bersifat sementara dan keperluan mempercepat peralihan kepada kenderaan elektrik (EV), sebagai sebahagian daripada agenda mobiliti hijau negara.
"Peralihan kepada EV perlu berlaku dan untuk menjayakan agenda ini, infrastruktur mengecas perlu ditingkatkan. Selain itu, teknologi mengecas yang cepat perlu dibangunkan, supaya masalah range anxiety atau kebimbangan terhadap jarak dapat diatasi," katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), memperhebat penguatkuasaan bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan susulan pelaksanaan BUDI Diesel.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, berkata perubahan harga bahan api, sering memberi kesan berantai kepada harga barangan dan perkhidmatan, yang akhirnya memberi tekanan kepada pengguna.
"Apabila harga diesel naik, banyak barangan lain akan turut terkesan dan berlumba-lumba naik. Trend harga barangan ini ibarat 'kucing panjat pokok kelapa', apabila sudah naik, sukar untuk turun, justeru penguatkuasaan tegas amat kritikal bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan," katanya.
Beliau turut menggesa pengguna memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan, dengan melaporkan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah berserta bukti lengkap seperti resit pembelian dan maklumat lokasi.
Selain pemantauan harga, beliau menyarankan kerajaan memperketat kawalan produk import bagi melindungi pengeluar tempatan serta merangka polisi mengurangkan pembaziran makanan, antaranya menerusi teknologi pembungkusan retort demi menjamin keselamatan bekalan makanan negara.
-BERNAMA
Artikel oleh: Berita Harian
BUDI DIESEL BERHARGA RM2.10 SELITER KURANGKAN KETIRISAN SUBSIDI KERAJAAN

No comments:
Post a Comment