KUALA LUMPUR 15 Sept. - Punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifiqah di sini semalam terus menimbulkan persoalan apabila dalam perkembangan terbaharu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tidak menolak kemungkinan berlaku pencerobohan sebelum kejadian.
Ia berikutan kenyataan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang memberitahu, ketika ini polis sedang meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) ibu pejabat persatuan itu yang terletak bersebelahan dengan pusat tahfiz berkenaan.
Perbuatan khianat mula dikaitkan dengan tragedi itu apabila pengguna di laman-laman sosial mendakwa wujud perbuatan khianat dan unsur balas dendam yang mahu menyasarkan kepada PPIM namun tersalah tempat sehingga mengundang kebakaran di pusat tahfiz tersebut.
Bagaimanapun Nadzim meminta semua pihak tidak membuat spekulasi sehingga polis selesai menjalankan siasatan.
“Maklumat pencerobohan yang dirakam melalui CCTV itu saya tidak boleh nafikan, mungkin ia tidak sesuai untuk diberitahu kerana masih sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa. Saya tidak boleh mengganggu siasatan namun saya juga tidak boleh mengesahkan dan saya juga tidak boleh menafikan perkara itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, aktivis PPIM, Muhammad Zharif Johor Nadzim Johan yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut mendakwa, CCTV ibu pejabat PPIM menunjukkan berbelas orang dilihat berlegar-legar di hadapan bangunan berkenaan.
“Polis sedang menyemak rekod CCTV yang ada di bangunan ini dan mendapati ada ramai individu yang berlegar-legar dari pukul 7 petang jika benar kebakaran itu disebabkan oleh perbuatan khianat. Kita tidak boleh nafikan perkara itu. Apa pun boleh berlaku, biar pihak polis dan bomba menjalankan siasatan yang menyeluruh,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis akan menjalankan siasatan meliputi segenap sudut termasuk elemen khianat berhubung kejadian tersebut.
Bagaimanapun, katanya , pada masa ini kematian mangsa tragedi berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Buat masa ini siasatan masih di peringkat awal berdasarkan laporan yang diterima, sabar dan tunggu. Kita perlu laporan forensik untuk ambil tindakan lanjut. Sebaik sahaja keputusan forensik diperoleh, jika ada petunjuk baharu atau unsur lain, siasatan terperinci akan dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Mohamad Fuzi, pihaknya akan mengambil keterangan pengetua, guru dan pelajar yang cedera dalam insiden tersebut.
“Ini adalah prosedur biasa, kita akan ambil keterangan untuk bantu proses siasatan dalam masa terdekat,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment