Mungkinkah berlaku perbuatan khianat sebagai punca kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini awal pagi kemarin yang mengorbankan 21 pelajar dan dua orang guru?
Persoalan ini timbul berikutan dakwaan bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang berdekatan disitu, mengesan kelibat seorang lelaki memanjat pagar sebelum menceroboh masuk ke dalam premis mereka.
Kejadian itu dirakamkan sekitar jam 3.10 pagi menerusi sebahagian daripada 16 CCTV di pejabat PPIM. Kebakaran berkenaan pula berlaku pada jam 5.10 pagi.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan mendakwa berdasarkan rakaman awal, suspek lelaki dikesan masuk melalui pintu pagar kiri sebelum melalui kawasan hadapan pekarangan pejabat PPIM dan menuju ke bahagian kanan yang juga bersebelahan dengan Pusat Darul Quran Ittifaqiyah,
Nadzim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan pencerobohan ke pusat tahfiz.
"Kami sudah menyerahkan semua rakaman berkenaan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut, malah mereka meneliti semua rakaman sejak pagi tadi (semalam).
Tak tahu motif sebenar
“Kita tidak tahu motif sebenar pencerobohan lelaki terbabit namun tidak menafikan kemungkinan turut menyasarkan pejabat PPIM,” katanya pada sidang media semalam.
Sumber pula mengesahkan wajah yang terakam dalam CCTV itu bukan pelajar pusat tahfiz berkenaan.
Sementara itu, selain memeriksa petunjuk terbaru CCTV, tumpuan siasatan polis adalah pagar di bahagian tepi dan belakang pusat tahfiz itu.
Pagar kawat yang memisahkan bahagian belakang pusat tahfiz dan Taman Tasik Dato Keramat itu didapati mempunyai kesan potong serta sudah diregangkan.
Sumber berkata pihak polis yang menjalankan siasatan sedang berusaha mengumpulkan segala maklumat bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
“Sejak pagi tadi (semalam), beberapa pegawai dan anggota meninjau keadaan pagar kawat yang dipercayai boleh menjadi laluan keluar dan masuk oleh penceroboh ke dalam pusat tahfiz ini.
“Malah, faktor pelajar cuba menyelinap keluar pada waktu malam dan awal pagi juga turut diambil kira sebagai membantu melengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, segala bentuk siasatan kes berkenaan akan turut dirujuk berdasarkan hasil siasatan Unit Forensik Polis dan Bomba.
Difahamkan pada masa ini semua bentuk siasatan diambil kira selepas wujudnya pelbagai persoalan berhubung punca kejadian yang berlaku selepas pihak polis menafikan punca kebakaran adalah masalah litar pintas.
Orang ramai yang mengunjungi pusat rekreasi Taman Tasik Dato Keramat juga turut menghampiri pagar berkenaan dengan harapan ingin mendapatkan kepastian adakah benar berlakunya pencerobohan.
No comments:
Post a Comment