KUALA LUMPUR 4 Sept. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong pelantikan Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun selain berharap kecemerlangan pasukan beruniform itu dapat diteruskan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, Mohamad Fuzi merupakan seorang yang berpengalaman luas dan cukup hebat dalam kepimpinannya.
Malah, beliau berharap pelantikan ini dapat menyuntik semangat baharu dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan tugas dengan lebih baik.
“Pelantikan ini dapat meningkatkan integriti pasukan polis selain Mohamad Fuzi juga dikenali sebagai memiliki kewibawaan dan sangat dihormati.
“Saya berdoa agar PDRM akan menjadi lebih baik selain mendapat sebuah kepimpinan yang cukup berpengalaman,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Fuzi sebelum ini merupakan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib bermula hari ini.
Majlis serah terima tugas diikuti penyerahan tongkat kuasa diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, Suruhanjaya Pasukan Polis telah memutuskan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim kekal sebagai Timbalan Ketua Polis dengan perjawatan baru dinaikkan kepada Turus III manakala Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff dilantik ke jawatan Pengarah Cawangan Khas.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Nor berpendapat, Mohamad Fuzi perlu meneruskan dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kepimpinan terdahulu selain membuat nilai tambah yang lebih baik.
Menurutnya, dasar-dasar sedia ada sudah cukup baik dalam membanteras jenayah serta mengekang keganasan militan Daesh di negara ini.
“Saya yakin rakyat semakin menyakini PDRM dalam membanteras jenayah di negara ini. Dasar-dasar yang diperkenalkan pada waktu ini sudah cukup baik dan perlu diteruskan. Tidak perlu perubahan dasar yang drastik bagi menjamin kecemerlangan PDRM,” ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/ngo-mahu-kecemerlangan-polis-diteruskan-1.522935#ixzz4rm5Al4R2
© Utusan Melayu (M) Bhd
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment