Thursday, September 10, 2015

2828) #YAYASANPATRIOT JEMPUT PEMIMPIN POLITIK SERTAI TAYANGAN AMAL #BRAVO5


Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) menyasarkan kutipan sebanyak RM20 juta bagi filem perjuangan anggota komando Rejimen Gerak Khas menentang pengganas komunis, Bravo 5 yang mula dita­yangkan di seluruh negara bermula esok.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: #YAYASANPATRIOT ANJUR TAYANGAN AMAL FILEM PERANG #BRAVO5

Pengarah Penerbitannya, Nik Nor Ashikin Nik Abdul Majid berkata, filem selama 83 minit itu bertujuan memupuk sema­ngat patriotisme dalam kalangan masyarakat di Malaysia tanpa mengira perbezaan umur, kaum dan agama.

Katanya, filem perang pertama terbitannya itu bukan sahaja mampu membangkitkan rasa kecintaan terhadap negara malah dapat menanamkan nilai perpa­duan untuk bersama-sama mempertahankan tanah air.

“Sebenarnya untuk melahirkan sebuah filem bercorak sebegini bukan semua berani. Walaupun dari segi prosesnya memakan masa yang agak lama serta menelan belanja yang agak tinggi, kita telah menerima sokongan jitu daripada Markas Angkatan Tentera terutama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

“Bagi saya, kemerdekaan itu dicapai dengan hadirnya pejuang-pejuang kita, tetapi untuk mengekalkannya, itu bukan mudah. Saya mahu filem ini memberi kesedaran kepada anak-anak muda supaya sayangkan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Filem arahan Yeop Hitler yang berlatar belakang tahun 1989 mengisahkan lima anggota komando yang ditugaskan mengesan kedudukan gerila komunis yang merancang menguasai kedudukan strategik kawasan te­ngah Semenanjung Malaysia.

Kelima-lima komando yang berjaya mengesan kem musuh itu bagaimanapun terpaksa bertempur dengan 200 pengganas komunis kerana terputus hubungan berikutan set komunikasi yang digunakan mengalami kerosakan.

Sementara itu, Timbalan Pe­nge­rusi YPNM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya mengambil kesempatan untuk menjemput wakil rakyat DAP terutama Ng Wei Aik dan Nga Kor Ming menonton filem berkenaan kerana dilihat selalu terkeliru dengan semangat patriotisme.

“Melalui jemputan ini diharap dua pemimpin DAP itu dapat membiasakan diri dengan aktiviti patriotisme selain terlibat dengan program amal. Selain itu, YPNM turut menjemput ahli-ahli politik daripada pelbagai parti untuk menyaksikan filem ini,” katanya.

Tambah beliau, bersempena sambutan Hari Malaysia, pihak­nya akan menganjurkan program ‘Tayangan Amal Patriot - Bravo 5’ bersama anak yatim, balu serta bekas anggota komando pada 14 September depan di GSC Quill City Mall di sini.

Filem yang menelan kos RM4 juta menampilkan barisan pelakon popular antaranya Beto Kusyairy, Remy Ishak, Sofi Jikan, Xavier Fong, Sashi Tharan dan Fairil Desa. -  Utusan

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...