Wednesday, September 16, 2015

2842) #PPIM: PEMBINAAN KR1M & KLINIK 1MALAYSIA PERLU DIPERHEBAT UNTUK TANGANI KOS SARA HIDUP


Inisiatif kerajaan menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik 1Malaysia merupakan langkah sesuai dalam menangani kos sara hidup yang tinggi.

Langkah menambah bilangan KR1M, yang menjual barangan keperluan pada harga murah, dan Klinik 1Malaysia, yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada golongan berpendapatan rendah membolehkan semakin ramai rakyat berpeluang mendapat barangan dan perkhidmatan pada harga yang murah tetapi berkualiti.

Bagi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, langkah baik kerajaan itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat bahawa masih terhadap barangan keperluan dan perkhidmatan perubatan yang boleh didapati pada harga murah.

Nadzim berkata bagi KR1M, kedai seperti itu perlu dibina di kawasan tumpuan orang ramai atau mudah diakses misalnya di stesen-stesen perhentian pengangkutan awam sekali gus dapat menarik pengguna membeli barangan di KR1M.

"Saya juga cadangkan agar setiap pembelian barangan (selain rokok) di KR1M diberi kupon atau baucar bagi menggalakkan pembeli berbelanja di KR1M, selain mewujudkan satu pusat cadangan di setiap cawangan dalam menambah baik perkhidmatannya dari masa ke masa," katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Marimuthu Nadason berkata usaha murni kerajaan itu wajar disokong dalam membantu mengurangkan beban rakyat.

"Kami alu-alukan usaha itu dan berharap agar penambahan KR1M bukan sahaja dibangunkan di kawasan bandar, malah juga kawasan luar bandar supaya kemudahan ini dapat dinikmati segenap golongan masyarakat," katanya.

Bagi pelajar jurusan perundangan universiti tempatan, Nur Masyitah Che Roslan, 23, KR1M perlu lebih banyak diwujudkan di kawasan bandar yang mempunyai ramai golongan berpendapatan rendah.

"Disebabkan ramai warga kota yang dikategorikan sebagai 'miskin bandar' pada masa kini, penambahan KR1M adalah sangat digalakkan," katanya.

Sementara itu, pegawai perubatan hospital kerajaan di ibu negara, Dr Azeanty Ahmad berkata usaha kerajaan menambah bilangan Klinik 1Malaysia amat bertepatan kerana ia membantu meringankan beban rakyat disebabkan ia melibatkan kos pembiayaan yang murah.

Beliau berharap agar klinik ini banyak dibangunkan di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi sekali gus memudahkan mereka untuk dapatkan rawatan dengan cepat.

"Dengan penambahan Klinik 1Malaysia ini, kerajaan diharap dapat menyediakan kakitangan yang secukupnya supaya proses rawatan dan perkhidmatan di klinik ini mampu menampung keperluan perubatan rakyat," katanya.

Kakitangan awam Nor Naimah Said pula berkata langkah yang diambil oleh kerajaan ini sangat membantu penduduk setempat terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

"Dengan adanya Klinik 1Malaysia, kami tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi seperti yang dikenakan di klinik swasta dan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk dapatkan rawatan seperti di klinik kesihatan daerah," katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada masa ini, terdapat 169 buah KR1M di seluruh negara dan akan ditambah sebanyak 25 buah pada tahun ini dan 12 lagi tahun hadapan.

Bagi Klinik 1Malaysia pula setakat ini kerajaan telah menyediakan 326 buah Klinik 1Malaysia dan sedang menyiapkan 16 buah Klinik 1Malaysia pada 2015, manakala 33 buah lagi pada 2016. - BERNAMA

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...