Selama ini tugasnya sebagai imam dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan sifatnya yang mudah mesra selain suka menolong orang amat disenangi oleh penduduk Kampung Temeris dekat sini.
Hari ini, A. Karim Ismail, 66, menyahut panggilan Ilahi ketika sedang melaksanakan tugas yang amat dicintainya iaitu mengimamkan solat sunat Aidiladha di masjid kampung itu kira-kira pukul 8.30 pagi.
Kejadian berlaku ketika dalam tahiyat akhir apabila A. Karim tiba-tiba rebah ke sebelah kiri dan tidak sedarkan diri.
Beberapa jemaah kemudiannya menghantar imam berkenaan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini untuk pemeriksaan sebelum pihak hospital mengesahkan A. Karim sudah meninggal dunia.
Tugas imam kemudiannya digantikan oleh bilal masjid itu, Sadri Omar yang kemudiannya membaca khutbah Aidiladha.
Anak imam berkenaan, Amran, 40, berkata, semasa tahiyat akhir, bapanya terbatuk dan tiba-tiba tubuhnya tumbang ke kiri.
“Pagi tadi ayah tercari-cari jubah putih kesayangannya untuk pergi ke masjid. Kami sekeluarga turut mencari pakaian itu tetapi tidak jumpa. Ayah kemudian pergi ke masjid bagi menunaikan tugasnya.
“Ketika tahiyat akhir, ayah tiba-tiba tumbang ke kiri selepas terdengar dia terbatuk,” katanya.
Sementara itu Ketua Kampung Temeris, Mohd. Yunus Abdullah, 64, berkata, Allahyarham A. Karim merupakan imam yang sangat disenangi penduduk di kampung itu kerana sifatnya yang mudah mesra selain suka menolong orang.
Jenazah A. Karim dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temeris.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Luqman Abd. Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment