Tuesday, September 22, 2015

2852) PPIM - PGSM METERAI PERJANJIAN KERJASAMA SELESAIKAN 'KES SYARIAH LAPUK' SEGERA.

Penyerahan MoU antara pihak Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkenaan masalah 'tangguh kes' syariah diselesaikan di Pejabat PPIM, Kondominium Villa Puteri, siang tadi.

22 SEPTEMBER 2015 - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu kes berkaitan syariah diselesaikan segera demi kebaikan masyarakat.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata kira-kira 27,000 kes berkaitan masalah kekeluargaan dilapor tahun lepas dengan 10 peratus daripada jumlah kes masih dalam keadaan tertunggak.


Beliau turut menyarankan agar beberapa syariat hukum dilihat semula.

“Ia melibatkan kes seperti penceraian, penjagaan anak, mut’ah dan tuntutan nafkah yang perlu diselesaikan dengan segera,” katanya kepada pemberita di sini.

Musa berkata penyelesaian bagi sesetengah kes nafkah idah misalnya sampai memakan masa sehingga tiga tahun untuk diselesaikan.


Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata tindakan tegas ke arah penyelesaian kes perlu dilakukan.

“Kadangkala terdapat kes yang seolah-olah tidak diendahkan,” katanya.


Beliau menyarankan agar pihak Baitulmal turut memberi bantuan kepada anggota masyarakat yang menghadapi masalah kekeluargaan.

Terdapat banyak aduan berkaitan masalah kekeluargaan, katanya.

Beliau turut mengalu-alukan program ‘Syariah dan Anda’ terbitan Radio24 Bernama yang memberi ruang kepada orang ramai untuk memperkatakan masalah kekeluargaan.

Sumber: BERNAMA

VIDEO

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...