Saturday, September 12, 2015

2834) JUDI ONLINE: SKMM SEKAT 306 LAMAN WEB, SEDIA BERI KERJASAMA


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menyekat 306 laman web judi siber sejak awal tahun ini selepas menerima permohonan dari pihak polis.

Pengarah Kanan Bahagian Digital dan Literasi Media MCMC Eneng Faridah Iskandar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan itu setelah laman web berkenaan disahkan mempunyai unsur jenayah.

Tahun lepas, sebanyak 235 laman web seumpama itu disekat di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289), katanya dalam satu temu bual ekslusif bersama Bernama di sini Jumaat.

Beliau berkata: "Peranan kita (MCMC) ialah untuk membantu pihak polis memastikan bahawa akses kepada laman-laman web perjudian itu disekat dan caranya ialah mengeluarkan arahan kepada ISP (pemberi perkhidmatan Internet) untuk menyekat akses itu,".

Eneng Faridah berkata meskipun tidak memainkan peranan daripada segi penguatkuasaan undang-undang, MCMC sentiasa bersedia menawarkan bantuan kepada PDRM jika diperlukan, khususnya dalam aspek kepakaran forensik untuk membantu membanteras judi siber.

"Kita mempunyai makmal digital forensik di Cyberjaya untuk membantu siasatan. Barang-barang yang disita misalnya 'hard disk' (cakera keras) dan sebagainya, jika perlu maklumat lanjut, polis memang memohon bantuan MCMC untuk membuat kajian forensik ke atas barang itu," katanya.

Eneng Faridah berkata siasatan terhadap sebarang kegiatan perjudian sama ada secara dalam talian atau di alam nyata adalah di bawah bidang kuasa PDRM iaitu di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Pertaruhan Pool 1967.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini yang menggesa MCMC mengambil tindakan proaktif bagi menangani sindiket yang menawarkan perjudian dalam talian yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini. (rujuk SINI)

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata pihaknya menerima ratusan aduan berhubung kes berkenaan sejak lima bulan lepas yang didakwa memperdaya orang ramai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar ke telefon bimbit mereka.

Eneng Faridah berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai hal berkenaan, termasuk daripada PPIM sendiri.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat aduan kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlebih dahulu jika berdepan situasi berkenaan, selain aduan kepada PDRM dan MCMC.

Menurutnya, penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu memberi kerjasama bagi menangani masalah berkenaan, memandangkan mereka lebih maklum mengenai maklumat penghantar SMS.

"Maklumkan kepada mereka kita terima 'spam' dan sebagainya dan minta mereka membuat sesuatu bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Dalam pada itu Eneng Faridah meminta orang ramai tanpa mengira usia supaya terus menggunakan Internet dengan cara yang betul dan terkawal.

Dilaporkan pada tahun lepas, sebanyak 20.1 juta rakyat, menggunakan Internet di negara ini dengan pengguna teramai adalah golongan berusia 15 hingga 34 tahun, katanya.

Menurut kajian MCMC tahun lepas, kebanyakan pengguna Internet iaitu seramai 88.2 peratus melayari Internet untuk mendapatkan maklumat, 87.1 peratus (melayari laman sosial) dan 81.1 peratus menggunakan 'communication by text' misalnya WhatsApp. - BERNAMA

BACA ARTIKEL LAIN BERKAITAN JUDI ONLINE - KLIK SINI


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...