Thursday, September 3, 2015

2822) SINAR HARIAN - 3/9/2015 - PENIAGA SUKAR LAKSANA ARAHAN TURUN HARGA


KUALA LUMPUR - Beberapa persatuan peniaga hari ini mengakui arahan supaya menurunkan harga barangan susulan penurunan harga minyak sukar untuk dilaksanakan terutama bagi yang mendapat bekalan dari luar negara.

Persatuan Peniaga Tekstil dan Barang Am India Malaysia (MITA) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma) berkata pengurangan harga bahan api itu tidak memberi kesan besar kepada perniagaan mereka.

Setiausaha MITA, R. Maheswary berkata sebaliknya kejatuhan nilai ringgit lebih mempengaruhi perniagaan mereka kerana kebanyakan bekalan diperoleh daripada pemborong di luar.

"Harga petrol naik atau turun, kami tidak boleh menurunkan lagi harga barangan kerana sudah menanggung penambahan kos modal kerana nilai mata wang dolar Amerika Syarikat semakin tinggi," katanya kepada Bernama.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hamzah Zainudin memberi amaran kepada peniaga supaya menurunkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak bagi bulan September.

Semalam, harga petrol RON95 dan RON97 turun 10 sen seliter masing-masing kepada RM1.95 dan RM2.35 sen, manakala diesel turun 15 sen seliter kepada RM1.80.

Menurut Hamzah tempoh seminggu diberikan kepada peniaga untuk menurunkan harga barang atau berdepan dengan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Presiden Presma, Noorul Hassan Saul turut menegaskan bukan mudah untuk anggota persatuan menurunkan harga jualan walaupun terlibat dalam sektor penyediaan makanan.

"Misalnya kita banyak mengimport rempah-rempah dari luar negara bagi menjamin kualiti makanan yang disediakan dan menerima nasib yang sama akibat kejatuhan nilai ringgit, jadi bagaimana kami nak turunkan harga?," soalnya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata memang sukar untuk menggesa peniaga menurunkan harga barangan walaupun pelbagai seruan telah dibuat pihak kerajaan.

"Apa yang boleh dilakukan ialah pihak kerajaan perlu mengambil tindakan serta merta ke atas peniaga jika mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Jika akta berkenaan dikuatkuasakan dengan lebih tegas, golongan peniaga tidak akan ambil mudah lagi mengenai isu ini," katanya. - Bernama

Sumber: SINAR HARIAN

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...