Friday, September 20, 2019

4295) PPIM PERKENAL APLIKASI SPPZ - HARIAN METRO - 19/09/2019


PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru pembabitan semua pihak dalam memperkasa penggunaan aplikasi telefon pintar SPPZ (Sokong Peniaga Pembayar Zakat) yang diperkenalkan hari ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, aplikasi itu menghimpun segala maklumat perniagaan dimiliki dan diusahakan umat Islam untuk diakses semua pihak termasuk pengguna.

“Aplikasi ini bertujuan menghimpunkan maklumat berkaitan perniagaan umat Islam yang juga pembayar zakat di seluruh dunia amnya dan Malaysia khasnya dalam apa saja bidang di bawah satu platform.

“Untuk pengguna, apa saja anda perlukan, contohnya tayar kereta pancit di tengah lebuh raya, SPPZ bantu anda cari bengkel atau servis tukar tayar terdekat menerusi jaringan GPS (sistem pengesanan global) yang tersedia dalam aplikasi.

“Malah pengguna boleh membuat aduan untuk perniagaan terbabit jika didapati ada tidak kena, memberi cadangan dan sebagainya,” katanya.

Difahamkan, aplikasi yang memerlukan capaian Internet itu baru saja didaftarkan dua hari lalu dan hanya boleh dicapai pengguna telefon pintar Android buat masa ini.

Bagaimanapun, ia akan tersedia untuk pengguna iPhone tidak lama lagi dan pengguna boleh membayar zakat menggunakan aplikasi itu dan setakat ini, SPPZ sudah dimuat turun kira-kira 200 kali.

Nadzim berkata, aplikasi itu bukan bertujuan memboikot perniagaan bukan Islam, sebaliknya memfokuskan kepada peniaga Islam yang bakal atau sudah membayar zakat.

Beliau berkata, pada masa sama, ia platform untuk menyebarluas pentingnya membayar zakat.

“Hasil usaha PPIM sebelum ini, ada penerima zakat kini sudah menjadi pembayar zakat.

“Kami amat mengharapkan lebih ramai khususnya peniaga tampil menyertai SPPZ kerana ia percuma dan hanya sumbangan kecil diperlukan untuk tujuan pengurusan supaya ia dapat terus beri manfaat pada semua,” katanya.

Terdahulu, Nadzim memperkenalkan Pertubuhan Komuniti SPPZ hasil gabungan kerjasama dengan beberapa pertubuhan Islam antaranya Persatuan Sufi Antarabangsa.


Artikel oleh: Harian Metro 

PPIM PERKENAL APLIKASI SPPZ


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL