Lokasi yang lebih santai dan dipenuhi dengan kehadiran pengunjung itu digunakan oleh Pengerusi Rangkaian Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air.
Malah, beliau juga berbesar hati menaja akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! sebanyak 200 naskhah untuk diedarkan kepada orang ramai di Restoran Ali Maju, Setapak Jaya di sini, semalam.
Sokongan itu dizahirkan sebagai menyahut kempen #sokongutusan bagi menyokong syarikat akhbar tertua, Utusan Melayu (M) Berhad yang sedang mengalami krisis kewangan.
Majlis sambutan ambang merdeka dan pelancaran kempen itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Utusan, Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Majlis sama turut meraikan Ulangtahun Kosmo! ke-15 yang disambut pada hari ini.
Acara sambutan turut dihiasi dengan aksi bersahaja kanak-kanak yang memperagakan pakaian bertemakan Jalur Gemilang dan merdeka sebelum diakhiri dengan percikan bunga api dan laungan Merdeka. - UTUSAN ONLINE

Artikel oleh: Utusan Malaysia 
RESTORAN ALI MAJU TAJA AKHBAR UTUSAN, KOSMO!