Monday, September 9, 2019

5247) JANGAN BERI PELUANG KEDUA PIHAK SALAH GUNA AP - BERITA HARIAN - 08/09/2019


KUALA LUMPUR: Pihak yang menyalahgunakan Lesen Import (AP) tidak seharusnya diberi peluang kedua dan lesen mereka perlu ditarik balik sebagai amaran kepada orang lain.
Penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar, berkata Malaysia boleh menyelamatkan berbilion ringgit dengan menguatkuasakan undang-undang yang ketat selain permit tidak diberikan kepada orang yang sama pada masa akan datang supaya tidak ada pihak berani melakukan jenayah itu.
“Tarik balik (AP), letak ‘noktah’ dan jangan bagi balik. AP ini selalunya dijual, kita patut beri kepada usahawan yang benar-benar nak lakukan tugas dan tidak melakukan kesalahan daripada segi undang-undang.
“Kita kena tegas mengenai cukai sebab orang yang import kereta, mereka kaya, ada AP… dah lah ‘free’ (percuma), kemudian untung lagi banyak, lagi nak tipu. Ini perkara tidak bagus dan sepatutnya bagi syarikat yang menyeleweng, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) patut tarik balik AP itu,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menambah belanjawan untuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) bagi membolehkan jabatan itu mempunyai teknologi yang canggih.
“Kadangkala sindiket ini ada alat yang lebih canggih daripada kita. Juga pastikan tempat kerja Kastam dari segi tempat operasi itu supaya lebih sesuai (kerana) itu boleh beri perangsang dan menyebabkan mereka bertugas dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata Kastam perlu melakukan semakan semula dengan terperinci dokumen tertentu bagi memastikan ia sah.
“Maknanya, dia (penguat kuasa) kena gabung dengan sistem supaya tidak diambil kesempatan oleh sindiket yang biasa dan pandai berkaitan isu AP, isu cukai dan berbagai lagi.
“Mungkin kena ada semakan semula, contohnya macam IC (kad pengenalan), IC memang boleh buat tetapi apabila disemak secara dalam talian bukan nama sebenar dan macam-macam lagi,” katanya.
Kastam dilaporkan menumpaskan cubaan menyeleweng dokumen pengimportan 21 kereta mewah bernilai RM12.2 juta dalam dua serbuan berasingan di Shah Alam, Selangor, pada 29 Mei lalu.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Azimah Abd Hamid, berkata rampasan terbesar di Lembah Klang untuk tahun ini itu membabitkan enam Lamborghini Huracan, Toyota Velfire (tujuh), Toyota Estima (empat), Mercedes Benz (dua) dan masing-masing sebuah BMW dan Toyota Alphard. - BERNAMA
Artikl oleh: Berita Harian
JANGAN BERI PELUANG KEDUA PIHAK SALAH GUNA AP

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL