Friday, September 27, 2019

5319) KAHWIN BERSULAM MUSLIHAT - HARIAN METRO - 27/09/2019


DIA tidak menyangka suami yang disayangi sanggup menjadikan kerjayanya sebagai penjawat awam untuk mendapat untung mudah dengan membuat pinjaman sehingga jumlah maksimum sebelum digantung tidak bertali sejak empat tahun lalu.
Lebih malang, janji manis untuk membina kehidupan lebih baik menggunakan pinjaman berkenaan sebagai modal perniagaan lenyap begitu saja selepas ia dibelanjakan sesuka hati dan suami kemudian menghilangkan diri.
Sudahnya, dia terpaksa melangsaikan pembiayaan berjumlah lebih setengah juta termasuk membayar gaji pekerja dan kos operasi syarikat yang gulung tikar.
Bagi Maisarah, 40, tiada lagi keseronokan hidup sebagai doktor di sebuah pusat perubatan awam apabila dia pokai selepas terpaksa melunaskan semua hutang ditinggalkan suaminya.
“Saya ingat dia kahwin dengan saya kerana cinta, tetapi sebaliknya. Kami hanya kenal tak sampai dua bulan sebelum dia menyatakan niat melamar saya.
“Dalam beberapa minggu pertama perkenalan dulu, memang dia banyak bertanya soal peribadi saya termasuk wang simpanan, gaji serta perbelanjaan harian tapi saya tidak mengesyaki apa-apa dan bersetuju menjadi isterinya atas dasar suka sama suka.
“Sebaik sah menjadi suami isteri, dia mula memujuk saya membuat pinjaman peribadi berjumlah RM200,000 kononnya untuk berniaga. Memang sebelum itu dia ada syarikat pembinaan dan saya tidak ambil pusing mengenai perniagaannya,” katanya.
Berselang dua bulan katanya, dia mula curiga apabila dihubungi bank yang memaklumkan ada tunggakan bayaran pinjaman selain beberapa pekerja suaminya meminta gaji mereka dan mendakwa sudah beberapa bulan tidak dibayar gaji.
Selepas itu, suaminya meminta dia membuat beberapa lagi pinjaman termasuk kad kredit berjumlah antara RM15,000 hingga RM50,000 kononnya sebagai jalan keluar daripada perniagaan yang menghadapi masalah kewangan.
“Sampai satu masa saya sudah tidak tahan lagi kerana bebanan hutang semakin bertambah dan mengganggu tugas saya sebagai doktor. Saya minta suami beri penjelasan dan dia berterus terang bahawa dia menggunakan saya untuk mendapat pinjaman dengan mudah kerana kedudukan saya sebagai penjawat awam,” katanya yang membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Seorang guru mahu dikenali sebagai Baizura, 30-an berkata, dia berkahwin dengan suaminya yang dikenali menerusi seorang rakan pada 2013.
Tanpa mengetahui latar belakang lelaki itu, mereka mengenali hati budi selama tiga bulan dan bersetuju untuk berkahwin biarpun mendapat tentangan keluarga.
Baizura berkata, dalam tempoh lima tahun perkahwinan, dia membuat tiga pinjaman dengan nilai keseluruhan berjumlah RM450,000 dan terpaksa menanggung suaminya yang tidak bekerja.
Menurutnya, lebih memeranjatkan apabila suaminya berubah sikap dan memaklumkan bahawa dia akan hidup senang sampai tua kerana turut mempunyai pencen isteri selepas bersara nanti.


Artikel oleh: Harian Metro

KAHWIN BERSULAM MUSLIHAT


No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL