Tuesday, September 3, 2019

5231) KEMPEN DAHULUKAN PRODUK MUSLIM DAN BUMIPUTERA TIDAK BERMUSIM - MALAYSIA GAZETTE - 03/09/2019


KUALA LUMPUR – Kempen mendahulukan produk Muslim dan bumiputera (BMBF) dijangka akan berlarutan kerana program ini dijalankan untuk memberi kesedaran dan penyaluran maklumat kepada pengguna supaya boleh membuat pilihan yang lebih baik ketika membeli-belah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tahap kesedaran dalam kalangan pengguna Muslim dan bumiputera ketika ini walaupun masih rendah tetapi trendnya semakin meningkat setiap hari.

Katanya, matlamat dan kesan ketara daripada kempen ini boleh dirasai sekiranya dijalankan secara berterusan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

“Kempen ini masih terlalu baharu tetapi saya menjangkakan ianya akan berlanjutan dengan lama kerana ramai pengguna yang semakin celik ditambah pula dengan isu-isu panas (perkauman) yang tidak putus-putus dimainkan.

“Ini semua menjadi faktor penyebab kempen ini diadakan.

“Saya yakin kempen mendahulukan produk Muslim dan bumiputera atau di PPIM kami lebih senang menggelarkannya kempen mendahulukan produk pembayar zakat bukanlah perkara bermusim,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.

Tambah Nadzim, bagi memudahkan pengguna untuk memilih dan mencari produk keluaran pembayar zakat, PPIM bakal melancarkan sebuah aplikasi yang mengandungi direktori dan maklumat produk-produk berkenaan.

Ia dijangka dilancarkan minggu depan.

Berulang kali menegaskan, mendahulukan produk Muslim dan bumiputera ini sangat penting untuk pengukuhan ekonomi bangsa, beliau juga mahu para pengguna tidak memboikot secara melulu sebaliknya mempunyai pengetahuan terhadap sesuatu barangan tersebut.
MGF02092019_OWH-MG-NADZIM14
Temubual Eksklutif bersama Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2019.
Ini katanya bagi mengelakkan mereka memboikot produk keluaran Muslim dan bumiputera secara tidak sengaja.

“Mereka perlu ada ilmu dan pengetahuan terhadap sesuatu produk tersebut supaya tidak tersalah boikot.

“Ada sesetengah produk yang mempunyai jenama seperti milik orang Islam atau Melayu tetapi hakikatnya milik kaum lain begitu juga sebaliknya.

“Apa yang penting pengguna perlu tahu siapa pemilik atau pengeluar produk berkenaan,” katanya.

PPIM sebelum ini pernah mencadangkan supaya pengeluar bukan bumiputera atau bukan Muslim tidak menggunakan tulisan jawi dalam pembungkusan produk masing-masing bagi mengelakkan pengguna terkeliru.
MGF02092019_OWH-MG-NADZIM16
Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menunjuk dan menerangkan antara produk bumipetera ketika ditemubual di Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2019.
Dalam pada itu, Nadzim meminta para pengguna juga perlu berkorban sedikit untuk mendapatkan produk-produk Muslim dan bumiputera kerana ianya tidak mampu dipasarkan terlalu meluas seperti produk-produk bukan bumiputera.

“Ada produk kita yang tidak mampu menembusi pasaraya-pasaraya besar atau kedai-kedai milik bukan bumiputera.

“Jadi saya minta para pengguna supaya berkorban sedikit masa dan tenaga untuk mendapatkan produk-produk ini.

“Semoga apabila produk ini banyak dibeli oleh pengguna bumiputera, mereka mampu meluaskan lagi pasaran pada masa hadapan.
“Komitmen dari pengguna ini sangat-sangat diharapkan oleh para usahawan kerana mereka telah berjihad membuat pelaburan mengeluarkan sesuatu produk Muslim dan kini, tinggal pengguna sahaja untuk menentukan sama ada mahu membeli barangan tersebut atau tidak,” tambahnya lagi.-MalaysiaGazette


Artikel oleh: Malaysia Gazette
KEMPEN DAHULUKAN PRODUK MUSLIM DAN BUMIPUTERA TIDAK BERMUSIM

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL