Saturday, September 7, 2019

5243) INISIATIF BE-HALAL PACU PERTUMBUHAN INDUSTRI - BERITA HARIAN - 07/09/2019


SERDANG: Satu inisiatif baharu di bawah Sekretariat Majlis Halal Negara diperkenalkan iaitu Program Pembangunan Strategik Industri Halal atau 'be-Halal'.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata dengan menggunakan Fiesta Halal Malaysia (Halfest) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai platform, be-Halal adalah inisiatif bagi memacu pertumbuhan industri halal melalui program pembangunan holistik terhadap peserta industri berkenaan.
Katanya, ia bagi membolehkan mereka bersaing secara produktif dan inovatif dalam mendepani pelbagai cabaran global, baik dalam industri halal atau dunia perdagangan yang mencabar.
“Untuk permulaan, 50 peserta industri halal akan dipilih menyertai program be-Halal oleh sekretariat.
“Peserta be-Halal akan dibangunkan melalui program yang dikendalikan oleh pakar dari pelbagai latar belakang untuk menyumbang kepada peningkatan industri halal negara.
“Menjadi salah satu impian dan cita-cita saya apabila menerajui Majlis Halal Negara ini untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti industri halal negara ke peringkat yang lebih berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Halfest di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Halfest 2019, ekspo halal terbesar di Malaysia, dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Ia diuruskan oleh Shapers Malaysia Sdn Bhd yang bertindak sebagai sekretariat ekspo berkenaan.
Pada tahun ini, Halfest disertai lebih 450 usahawan dengan pembukaan lebih 500 ruang pameran.
Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, beliau difahamkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan bekerjasama dengan sekretariat Halfest JAKIM bagi membuka ruang kepada 100 syarikat halal dalam kalangan golongan yang memerlukan sokongan, untuk diberi peluang penyertaan.
“Saya berhasrat untuk melihat lebih ramai asnaf terbabit di dalam Halfest pada tahun-tahun mendatang, dibantu oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkan zakat.
“Pendekatan sebegini harus dijadikan model yang boleh diikuti oleh semua Majlis Agama Islam di Malaysia sebagai satu strategi bukan saja untuk mengeluarkan mereka daripada terus menjadi golongan asnaf terutama fakir dan miskin, malah menjadi pembayar zakat pada masa akan datang,” katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

INISIATIF BE-HALAL PACU PERTUMBUHAN INDUSTRI

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2019/09/604270/inisiatif-be-halal-perkasa-industri-halal

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...