Wednesday, September 11, 2019

5266) LAHIR MUTAWIF, MUTAWIFAH PROFESIONAL - HARIAN METRO - 11/09/2019


DALAM usaha melahirkan lebih ramai golongan mutawif daripada kalangan anak tempatan yang bertauliah selain memberi peluang pekerjaan kepada anak muda biarpun bukan daripada lulusan agama, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menganjurkan kursus Mutawif dan Mutawifah Profesional 2.0, baru-baru ini.

Kursus itu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), diikuti di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebelum diteruskan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sejak 27 Julai lalu membabitkan 400 pelajar.

Selain itu, pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin, Politeknik Sarawak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut serta dalam kursus selama enam hari itu.

Ketua Biro Penggerak Belia PPIM, Abd Halim Ikhsan berkata, kursus itu bertujuan memberikan nilai tambah kepada peserta selain ijazah yang diperoleh dalam bidang masing-masing bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan.

“Kursus ini bakal melahirkan mutawif dan mutawifah (perempuan) serta kakitangan pengurusan umrah dalam kalangan pelajar universiti awam secara profesional. Antara pengisian kursus, mendedahkan kepada pelajar berkaitan realiti kerjaya mutawif dan pengurusan umrah.

“Pada masa sama, ia juga dapat membuka minda peserta mengenai peluang lain yang terbentang luas selain bidang akademik yang diambil apabila mereka berpeluang mendapatkan kerjaya dalam bidang pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian kursus itu yang disempurnakan Timbalan Setiausaha Bahagian, Cawangan Operasi Strategik, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan Dasar kementerian, Fazli Said, di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil, UPSI.

Turut hadir, Ketua Pengarah Islamic Tourism Malaysia, Datuk Seri Abdul Khani Daud dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.


PELAJAR kursus mutawif bergambar kenangan dengan memakai ihram.
Abdul Halim berkata, peserta yang menamatkan kursus akan ditempatkan di syarikat pengendali umrah untuk menjalani sesi latihan industri selama sebulan setengah bermula 3 September lalu dan sebanyak 60 syarikat pengendali umrah bekerjasama memberikan tempat latihan kepada peserta.

“Setiap peserta menerima Sijil Profesional Mutawif dan Mutawifah yang membolehkan mereka menjalankan tugasan berkenaan secara profesional di mana-mana syarikat pengendali umrah di Malaysia.

“Biarpun pekerjaan ini berdepan dengan pelbagai cabaran terutama melayan pelbagai kerenah jemaah, tetapi ia kerjaya yang dipandang tinggi kerana perlu bertanggungjawab melayan tetamu Allah.

“Mereka juga berpeluang membantu orang lain dan bukan hanya memandang ia sebagai satu pekerjaan yang memperoleh pendapatan semata-mata sebaliknya malah berpaksikan ibadat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Dr Md Amin Md Taff berkata, pihaknya berharap kursus itu dapat melatih pelajar sehingga mereka mampu untuk terbang ke tanah suci dan menimba pengalaman sebagai pembantu mutawif seterusnya sebagai mutawif.

“Graduan universiti hari ni tidak boleh mengharapkan pencapaian akademik semata-mata dalam mencari pekerjaan, sebaliknya mereka perlu mempelbagaikan nilai tambah dalam kemahiran lain termasuk menjadi mutawif secara profesional,” katanya.


Artikel oleh: Harian Metro

LAHIR MUTAWIF, MUTAWIFAH PROFESIONAL

https://www.hmetro.com.my/nuansa/2019/09/495426/lahir-mutawif-mutawifah-profesional

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL