Tuesday, May 23, 2017

3742) BERNAMA hargai petugas, pelanggan setia - Berita Harian Online - 23/5/2017


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) memberikan anugerah khas kepada petugas dan pelanggannya yang setia sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun BERNAMA ke-50 di Dewan Perdana Felda di sini, malam ini.
Sebanyak 18 individu menerima Anugerah Khas - Khidmat Setia termasuk pengurusan tertinggi Bernama iaitu Pengerusinya Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Pada masa sama, 18 pelanggan BERNAMA turut menerima Anugerah Khas Pelanggan Setia Bernama (Media) iaitu akhbar Nanyang Siang Pau, China Press, The New Straits Times, BH, Utusan Melayu, Sabah Publishing, The Star, RTM, Malay Mail, Asia Times, Sin Chew, Kwong Wah Yit Poh, See Hua Daily News, Borneo Post, Eden Value, Tribune Press dan Media Corp Singapura.
BERNAMA turut memberikan Anugerah Khas Pelanggan Setia BERNAMA (Bukan Media) kepada 18 penerima iaitu Kedutaan Jepun di Malaysia; Ambank; Kementerian Luar; Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Indah Water Konsortium Sdn Bhd; Kementerian Kesihatan; Takaful Ikhlas; Bank Kerjasama Rakyat; Persatuan Pengguna Islam Malaysia; iProperty.com; Pos Malaysia Berhad; Felda; Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA); Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia; Yayasan IJN; Perbadanan Adat dan Warisan Negeri Selangor dan Yayasan Bank Rakyat.
Anugerah itu adalah antara tujuh anugerah yang diberikan Bernama selain Anugerah Khas (Pencipta Logo Bernama), Anugerah Khas (Jasamu Dikenang), Anugerah Khas (Sumbangan Khusus) dan anugerah khas kepada bekas petugas Bernama yang menempa kejayaan.
Bagi pemenang Anugerah Khas Pelanggan Setia Bernama (Bukan Media), Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata Bernama menjadi platform kepada persatuan itu untuk menyuarakan pendapat secara telus demi kepentingan pengguna di negara ini.
Sementara itu, penerima Anugerah Khas (Khidmat Setia) Salbiah Said, 64, yang berkhidmat di agensi berita ini sejak 1979, berkata Bernama memberikannya pengalaman berharga sebagai wartawan.
Berkelulusan Ijazah Komunikasi Massa dari UiTM Shah Alam, beliau pernah memegang pelbagai jawatan antaranya sebagai koresponden selama tiga tahun di Singapura pada 2001, dilantik sebagai Editor Meja Penyunting Bahasa Inggeris (2004) dan aktif sebagai bekas Presiden Persatuan Suri dan Anggota Wanita BERNAMA (Benita).
Salbiah yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Ekonomi bersara wajib pada 2011 dan kini meneruskan kariernya sebagai Pembantu Editor di Unit Portal dan E-Commerce di agensi berita ini. - BERNAMA

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL