KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Malaysian Humanitarian Organization (MHO) hari ini melancarkan Biro Undang-undang dan Kad Kaunseling Guaman PPIM (Kagum) bertujuan memberi khidmat guaman pada kadar rendah kepada pengguna yang menjadi mangsa penipuan. Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata selain membantu pengguna mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menipu, ia juga bertujuan membantu pengguna mendapatkan kaunseling guaman sebelum melakukan transaksi atau pelaburan.
"Dengan adanya perkhidmatan seperti ini, ia dapat menjamin hak pengguna dan mengelak mereka daripada ditipu," katanya pada sidang media penubuhan biro undang-undang PPIM di sini.
Turut hadir, Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM Hishamuddin Hashim dan Presiden MHO Zamri Zaimon.
Nadzim berkata PPIM menerima banyak laporan kes penipuan setiap hari dan kebanyakan pengguna berdepan masalah itu sukar mendapat pembelaan kerana tidak berkemampuan membayar kos guaman yang tinggi.
"Terdapat pelbagai jenis caj yang dikenakan oleh syarikat guaman seperti kos membuka rekod dan kos pengangkutan peguam yang perlu dibayar oleh pengguna," katanya.
Justeru, beliau berkata Kagum menyediakan 25 peguam yang akan membantu memberi khidmat nasihat guaman termasuk menyelesaikan kemusykilan pengguna berkaitan dokumen perjanjian dan pelaburan pada kos yang minima.
Sementara itu, Hishamuddin berkata kes penipuan masa kini kebanyakannya mengikat pengguna dengan surat perjanjian yang berat sebelah dan sering kali pengguna diugut dengan tindakan undang-undang sekiranya pengguna mahu membatalkan perjanjian tersebut.
"Pengguna kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan untuk mengkaji perjanjian dan transaksi yang adakalanya tidak logik dan langkah bantuan guaman ini akan memberi mereka kefahaman dan pilihan tindakan yang hendak diambil," katanya.
Pengguna yang ingin mendapatkan perkhidmatan Kagum boleh berkunjung ke ibu pejabat biro di C-3A-6, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak atau menghubungi talian 011-1118 1000.
No comments:
Post a Comment