KUALA LUMPUR 23 Mei - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) memantau proses lelongan bermasalah yang banyak menganiaya pengguna.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, BNM perlu menetapkan undang-undang yang berpatutan dan mengarahkan pihak bank supaya membuat lelongan mengikut harga pasaran.
“Kita perlu mempunyai dasar yang adil supaya tiada lagi pengguna yang dianiaya.
“Jadi, pihak BNM perlu mengambil serius tentang perkara ini supaya ia tidak memberi kelonggaran bagi mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan ke atas pengguna,” katanya pada sidang akhbar Syarat Lelongan Menzalimi Pengguna di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Nadzim, PPIM menerima lebih 10 aduan berkaitan isu lelongan rumah bermasalah, di mana terdapat empat kali lelongan dilakukan dalam tempoh dua bulan dan setiap kali lelongan, harga diturunkan sebanyak 10 peratus.
“Pihak yang melelong itu memang ada hak untuk melelong, tetapi apa yang kita tidak mahu ialah mereka memanipulasi pengguna. Jadi, saya berharap pihak BNM akan melihat kembali isu ini supaya ia tidak berterusan kerana perkara ini akan merosakkan negara kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nadzim turut merayu pembuat undang-undang, pejabat menteri besar atau pihak berkuasa supaya mengkaji semula dasar Kanun Tanah Negara (KTN) yang memberi tempoh hanya tujuh hari untuk pemilik tanah membuat tebusan tanah tersebut sebelum dilelong.
“Kami ada menerima aduan bahawa ramai pengguna yang sempat mencari duit untuk bayar wang tunggakan daripada pihak bank, tetapi tidak boleh berbuat demikian sebab mengikut undang-undang, mereka perlu melaksanakan tunggakan tersebut dalam masa satu minggu.
“Jadi, saya berharap perkara ini diberi perhatian dan pembuat undang-undang perlu melihat semula Kanun Tanah Negara ini untuk memberi syarat yang lebih logik supaya tidak membebankan pengguna,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pengadu, Abdurrazak Yunus, 54, memberitahu tempoh tujuh hari yang diberikan untuk dia melunaskan hutang tunggakan rumah yang dibelinya sejak 15 tahun lalu adalah tidak cukup.
“Mereka memberi tempoh untuk saya mencari sumber untuk membayar tunggakan itu, tetapi saya tidak mampu untuk mencari sumber kewangan dalam tempoh tersebut dan pihak berkenaan terus melelong rumah saya pada harga RM400,000,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, PPIM dengan kerjasama Jabatan Insolvensi akan mengadakan siri jelajah Klinik Bebas Muflis (KBM) pada 25 Mei di Hotel Sani di sini bagi membantu mangsa muflis menyelesaikan masalah itu dengan cara yang mudah
“Klinik ini akan terus dijalankan dan Jabatan Insolvensi sendiri akan membantu berunding dengan mereka yang muflis ini,” katanya.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian 016-6778999 untuk mendapatkan maklumat mengenai KBM. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-bnm-perlu-pantau-isu-lelongan-bermasalah-ppim-1.485281#ixzz4hxH08lpk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment