KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan membantu tiga pelajar pintar yang tidak mampu untuk menyambung pelajaran.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, tiga remaja tersebut, Muhammad Amirul Haziq Musa, 22; Aqilah Zakirah, 19; dan Afiqah Zakirah, 17, amat memerlukan bantuan berikutan kos pengajian mereka kini ditanggung sepenuhnya oleh ibu mereka, Zabedah Mohamed.
Muhammad Amirul kini belajar di Universiti of West England di United Kingdom dalam jurusan teknologi maklumat, Aqilah Zakirah dan Afiqah Zakirah, masing-masing belajar di Universiti Taylor’s Subang Jaya dalam jurusan Asasi Sains.
“Saya kesal kerana tidak ada pihak sama ada kerajaan atau swasta yang tampil membantu mereka sedangkan mereka ini aset negara.
“Saya sarankan supaya kerajaan menubuhkan satu badan khusus bagi membantu pelajar pintar di negara ini dari segi pembiayaan pengajian,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PPIM, semalam.
Beliau berkata, badan khusus itu penting supaya mereka dapat dibantu mengembangkan potensi kebijaksanaan mereka sekali gus mampu memberi khidmat terbaik kepada Malaysia.
“Saya rasa sudah tiba masanya kerajaan ambil serius mengenai perkara ini. Kita tidak mahu kes beberapa remaja pintar yang berpotensi berkhidmat untuk negara sebelum ini, terkandas di tengah jalan kerana tidak dibantu,” katanya.
Sementara itu, Zabedah berkata, dia pernah membuat rayuan di beberapa badan kerajaan untuk meminta biasiswa pengajian tiga anaknya, namun semuanya ditolak.
“Lebih mengecewakan, ada satu agensi kerajaan menolak permohonan salah seorang anak saya atas alasan, negara ini mempunyai ramai doktor.
“Saya sangat kecewa dengan jawapan yang diberikan,” katanya yang telah berhabis hampir RM500,000 untuk pembiayaan pengajian anak-anaknya itu.
Menurutnya, pernah juga pihak berjanji membantu anak sulungnya, Muhammad Amirul Haziq jika dia mendapat keputusan cemerlang dalam peringkat ijazah sarjana muda, namun janji tersebut tidak ditunaikan.
No comments:
Post a Comment