Wednesday, July 29, 2015

JUDI ONLINE: PENJAWAT AWAM DIJADIKAN SASARAN SINDIKET? @AliHamsa

Sasaran sindiket kerana mudah buat pinjaman kewangan

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penjawat-awam-berjudi-guna-sms-1.118133

Sindiket perjudian dalam talian di negara ini dipercayai menjadikan penjawat awam sebagai sasaran terbaharu mereka bagi mengelakkan kegiatan haram itu daripada dihidu pihak berkuasa.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendedahkan kegiatan perjudian secara dalam talian semakin menular dalam kalangan penjawat awam dan aktiviti tersebut dilakukan ketika waktu rehat.

Menurut sumber Nadzim, golongan tersebut dijadikan sasaran sindiket berkenaan kerana kemudahan yang dimiliki penjawat awam bagi membuat pinjaman kewangan daripada institusi kewangan dan sebagainya.

“PPIM mendapat banyak maklumat daripada orang awam termasuk sumber dalaman sindiket mengenai pembabitan penjawat awam dalam kegiatan judi dalam talian. Malah mereka mengakui kini menjadikan penjawat awam sebagai sasaran terbaharu.

“Dipercayai penjawat awam menggunakan masa rehat mereka bagi menjalankan kegiatan haram di dalam bilik. Sekiranya berjaya memenangi perjudian, wang akan dihantar terus oleh budak suruhan kepada mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia kelmarin yang membongkar taktik terbaharu sindiket judi menggunakan kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menarik perhatian kaki judi.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil tindakan serius meme­rangi kegiatan haram tersebut secara habis-habisan.

Selain itu katanya, syarikat-syarikat telekomunikasi juga perlu memainkan peranan memantau setiap SMS berbentuk iklan atau promosi yang dihantar pihak tertentu kepada pengguna bagi mematahkan sebarang cubaan menyebarkan kegiatan haram tersebut.

“Tindakan segera perlu diambil kerajaan menghalang kegiatan ini daripada terus berleluasa kerana dikhuatiri bukan sahaja boleh merosakkan kehidupan kaki judi, malah memberi kesan kepada keluarga dan generasi muda.

“Pihak berkuasa diminta menyiasat sekiranya berlaku kegiatan penjualan maklumat atau data peribadi pengguna oleh syarikat-syarikat tertentu kepada sindiket perjudian. Jika perkara itu berlaku, tindakan undang-undang tegas perlu diambil terhadap pihak terbabit,” tegasnya. - UTUSAN

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...