Wednesday, July 15, 2015
2763) SINAR HARIAN - 14/7/2015 - BANTERAS JUALAN GAJET TIRUAN
SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan bertegas membanteras penjualan gajet atau alatan elektronik tiruan di premis-premis terkenal di negara ini.
Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, penipuan jualan melibatkan peralatan elektronik seperti telefon pintar bukan perkara baharu dan ia semakin membimbangkan.
“Untuk rekod, penipuan jualan membabitkan gajet palsu ini telah berlaku sejak lebih sedekad lalu. Ramai yang telah menjadi mangsa kerana ketamakan peniaga.
“Modus operandi mereka adalah dengan menjual set tiruan dengan harga sama seperti set original,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut Nadzim, penipuan yang dilakukan oleh peniaga bukan tertumpu kepada mana-mana bangsa.
“Pihak kami ada terima aduan daripada pelancong asing yang datang ke negara kita pernah ditipu oleh peniaga telefon pintar. Penipuan tersebut berlaku di tempat membeli belah terkenal iaitu di KLCC.
“Ada yang mendakwa membayar set telefon pintar original tetapi apabila diperiksa, beberapa komponen penting telah ditukar. Ini telah memburukkan imej negara kita,” katanya.
Beliau mencadangkan kerajaan menetapkan syarat supaya peniaga-peniaga gajet di negara ini berada di dalam persatuan.
“Tujuan utama supaya peniaga ini masuk persatuan untuk memudahkan sebarang teguran dilakukan.
“Sebagai contoh, sebuah kedai di bawah persatuannya melakukan kesalahan, maka persatuan tersebut bertanggungjawab menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/banteras-jualan-gajet-tiruan-1.410412
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment