Wednesday, July 22, 2015

2768) MALAYSIAN DIGEST - 21/7/2015 - JANGAN BIARKAN PENIAGA MENIPU HIDUP SELESA

http://malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/562285-jangan-biarkan-peniaga-menipu-hidup-selesa.html

Orang ramai disarankan supaya tidak membiarkan peniaga yang tidak bertanggungjawab yang menipu dalam urusan jual beli terus hidup ‘selesa’, sebaliknya bertindak melaporkan kegiatan mereka kepada pihak berkuasa.

Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, dengan aduan yang dibuat membolehkan pengguna mendesak pihak berwajib termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan segera.

"Pengguna yang mempunyai masalah (ditipu) dinasihatkan supaya menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan membuat laporan segera bagi memudahkan penguatkuasaan dijalankan

“Mungkin ada kelemahan daripada pihak penguatkuasaan, namun sebagai pengguna perlu membantu dengan membuat laporan,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden penipuan membabitkan jualan telefon pintar yang didakwa berleluasa dalam kalangan peniaga termasuk kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yat, baru-baru ini termasuk satu insiden terbaru dilaporkan berlaku di Johor Bahru.

Katanya, pihaknya turut menerima laporan daripada pengguna yang menjadi mangsa kes penipuan membabitkan pembelian telefon tiruan termasuk dalam kalangan pelancong asing.

“Dua bulan lalu, kami bersama pihak polis telah menjalankan serbuan di beberapa kedai telefon di sekitar Kota Raya dan berjaya merampas hampir 600 telefon tiruan.

“Aduan turut diterima membabitkan warganegara daripada Arab Saudi, Bangladesh dan Indonesia,” ujarnya.

Mengulas mengenai insiden di Plaza Low Yat, beliau menegaskan kejadian tersebut tidak boleh dikaitkan dengan isu perkauman, sebaliknya pengguna perlu menyedari hak masing-masing sekiranya mereka menjadi mangsa penipuan.

“Masing-masing perlu memahami hak sebagai pengguna dan peniaga harus jujur dalam menjalankan urusan jualan.

“Namun, sekira sebaliknya berlaku, pengguna perlu cepat bertindak bagi memastikan kegiatan penipuan dapat dibendung,” katanya. - MALAYSIAN DIGEST

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...