Tuesday, July 8, 2014

2039) UTUSAN MALAYSIA 8/7/2014 - PPIM sedia laman blog, WhatsApp


PPIM sedia laman blog, WhatsApp


KUALA LUMPUR 7 Julai - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyediakan laman blog dan aplikasi WhatsApp bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kegiatan mesin judi haram.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, laman rujukan tempat maksiat itu diwujudkan sebagai medium bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh masyarakat.

Sehubungan itu, kata beliau, PPIM meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat seperti gambar dan alamat premis yang menjalankan kegiatan tersebut di kawasan masing-masing bagi membanteras gejala tersebut.

"Operasi menggempur kegiatan itu dilihat akan lebih berhasil sekiranya masyarakat berkongsi maklumat lokasi dan pihak berkuasa juga boleh mengambil maklumat daripada laman tersebut untuk diambil tindakan segera.

"PPIM akan cuba mengumpul setiap maklumat yang diberikan agar masyarakat dan pihak berkuasa sama-sama membanteras kegiatan mesin judi haram," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan pihak berkuasa agama negeri diingatkan supaya sentiasa menggempur kegiatan mesin judi haram dan menguatkuasakan undang-undang di bawah enakmen syariah masing-masing kepada penganut Islam yang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, setelah wujudnya laman blog itu, pihaknya berharap dengan adanya maklumat yang disalurkan itu pihak berkuasa dapat mengambil tindakan dan menangani gejala itu.

"Selepas ini tiada alasan lagi jika mereka tidak mengambil sebarang tindakan. Maklumat telah diberikan, jadi terpulang kepada mereka samada mahu bertindak atau tidak.

"Pemberi maklumat juga tidak perlu khuatir kerana butiran peribadi mereka akan dirahsiakan," katanya.

Oleh itu, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghantar gambar dan alamat ke aplikasi WhatsApp di talian 019-9130000 atau menghantar ke emel muslimconsumers@gmail.com serta pihak berkuasa juga boleh melihat segala maklumat yang diberikan di laman blog http://lamanmaksiat.blogspot.com

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...