Friday, July 4, 2014

2036)BERITA HARIAN 4/7/2014 - Tindakan tegas bufet Ramadan tanpa sijil halal



Headline: Tindakan tegas bufet Ramadan tanpa sijil halal
Publication: BH
Date of publication: Jul 4, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 039
Byline / Author: Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

Setiap kali menjelang bulan Ramadan antara isu utama yang menjadi perbualan hangat dalam kalangan umat Islam negara ini ialah harga bufet Ramadan yang terlalu mahal dan kedegilan beberapa hotel yang terus menawarkan bufet Ramadan walaupun tidak mempunyai sijil halal. Tahun ini harga bufet Ramadan dilihat kekal seperti tahun lalu iaitu antara RM80 hingga RM140 bagi orang dewasa dan RM30 hingga RM49 untuk kanak-kanak.

Secara logiknya harga seumpama ini langsung tidak masuk akal. Sikap sesetengah pengusaha hotel yang mengambil kesempatan pada bulan Ramadan untuk mengaut keuntungan melampau cukup dikesali. Seperti kata Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, pihak hotel tidak memahami falsafah Ramadan iaitu bulan berjimat-cermat.

Apa salahnya menawarkan harga munasabah? Keuntungan yang sama tetap boleh diraih, meningkatkan jumlah pelanggan yang datang. Sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa mengeluarkan garis panduan bagi menetapkan harga siling bufet Ramadan agar pihak hotel tidak mengambil kesempatan dan meletakkan harga bufet sesuka hati.

Selaras harga bufet Ramadan

Biarlah harga bufet Ramadan diselaraskan hotel yang berhasrat untuk menawarkannya. Dengan ini pengguna boleh pilih hotel yang mereka gemari tanpa perlu memikirkan kadar harga.

Begitu juga halnya dengan isu hotel yang menawarkan bufet tetapi tidak memiliki sijil halal. Ini juga bukanlah isu baharu di negara kita. Pendedahan demi pendedahan oleh pihak berkuasa membuktikan masih ramai pengusaha dan pengeluar makanan menyalahgunakan logo halal mahupun tidak memiliki sijil halal. Akibatnya pengguna terutama umat Islam terus menjadi mangsa penipuan pengusaha yang tamak, degil dan tidak bertanggungjawab.

Dalam hal penawaran bufet Ramadan ini pengusaha hotel perlu lebih bertanggungjawab dan memahami sensitiviti umat Islam. Hakikatnya, walau apapun agama pengusaha hotel seperti ini apakah mereka tidak tahu dan sukar untuk memahami sensitiviti, perasaan dan kehendak umat Islam negara kita? Kita tidak perlu menjadi penganut agama Islam untuk menghormati agama tersebut tetapi cukuplah jika tahu untuk menghormatinya. Kenapa mereka melakukan hal seperti ini yang jelas salah dan tidak beretika? Perbuatan seperti ini juga wajar dilabel sebagai mencemarkan imej dan menjejaskan nama baik agama Islam. Isu halal dan haram terutama dalam aspek pemakanan tidak boleh dipandang enteng dan tidak dipedulikan kerana ia membabitkan soal pembentukan darah daging kita terutama umat Islam.

Justeru, kita merayu kepada pihak kerajaan mengetatkan lagi aspek pemantauan dan penguatkuasaan supaya pengusaha hotel yang masih degil diambil tindakan setimpal dan paling tegas sebagai proses pengajaran kepada pengusaha lain yang masih degil.

Boleh dikenakan tindakan

Mengikut peraturan, premis makanan yang tiada sijil halal tetapi menawarkan bufet Ramadan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan. Mengikut Akta perihal Dagangan, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2001, pemilik perniagaan itu yang disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5 juta bagi pertubuhan perbadanan dan denda maksimum RM1 juta bagi individu. Pesalah juga boleh disabitkan kesalahan mengikut Perakuan dan Penandaan Halal akta yang sama, denda maksimum RM200,000 bagi pertubuhan perbadanan, manakala denda maksimum RM100,000 bagi individu.

Jika perlu undang-undang dan akta dipinda supaya hukuman yang sedia ada dapat dipinda dan ditambah jika perlu agar memberi pengajaran kepada pihak yang masih memandang rendah kepada soal seperti ini. Malah, jika perlu sebagai langkah serta-merta kita harap kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberi kuasa kepada JAKIM atau pihak lain yang bertanggungjawab seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menarik balik atau membatalkan lesen operasi mereka. Kita perlu tunjuk keseriusan dan ketegasan agar pihak yang tidak bertanggungjawab tidak mengulangi kesilapan.

Sebagai pengguna buatlah pilihan yang bijak dan rasional. Jangan terlalu mengikut nafsu hingga lalai dan leka dengan soal halal dan haram dalam aspek pemakanan kita. Kesimpulannya, pengguna perlu bijak membuat pilihan di samping mengharapkan peranan pihak berkuasa terutama dari aspek pemantauan dan pemeriksaan yang kerap dan mengejut di samping hukuman berat dilihat antara cara terbaik untuk menangani isu ini. Semua pihak juga perlu berganding bahu dan bertindak segera demi menyelamatkan umat Islam negara ini daripada terus ditipu oleh premis yang memaparkan logo halal tetapi sebaliknya tidak atau meragukan. Makanan adalah keperluan asas dan kebiasaannya sudah menjadi amalan umat Islam negara ini untuk berbuka puasa dan menjamu selera di hotel sepanjang bulan Ramadan seperti ini.

* Penulis ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia.


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...