Friday, July 18, 2014

2054) BERNAMA 15/7/2014 - Niat Paling Penting Untuk Berhenti Merokok - PPIM





Niat Paling Penting Untuk Berhenti Merokok - PPIM

Oleh Syamsiah Sahat

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Yang paling penting untuk berhenti merokok ialah niat, kata Pengarah Latihan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr Izham Nayan.

Beliau berkata kuasa niat yang kuat dalam diri seseorang sebenarnya memberi kesan yang amat besar untuk menjayakan sesuatu yang diingini.

"Cuba fikir kenapa bila berpuasa, perokok boleh tahan tidak merokok sehingga waktu berbuka. Sedangkan bila tidak berpuasa, mereka merokok sejam atau dua jam sekali.

"Ini membuktikan niat untuk menjaga amalan puasa sangat kuat sehingga mereka tidak langsung memikirkan rokok sepanjang tempoh berpuasa," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata niat sebegini yang harus ada bagi membuang terus ketagihan merokok disusuli dengan senanam serta aktiviti ringan yang membolehkan perokok berhenti merokok tanpa menjejaskan kesihatan mereka.

Menurut Dr Izham, PPIM telah mewujudkan program '24 Jam Berhenti Merokok PPIM' di bawah Komuniti Masyarakat Pengamal Akhlak dan Amalan Sihat (Kompas) dengan menyediakan latihan serta cara menghentikan tabiat merokok dengan betul.

"Kami menyediakan sesi untuk meninggalkan amalan merokok kepada mereka yang benar-benar berniat mahu membuang ketagihan merokok. Di sini peranan kita memberitahu mengenai keburukan merokok sama ada mereka sudah tahu atau tidak, agar niat mereka jadi 100 peratus mahu meninggalkan rokok," katanya.

Beliau menambah niat untuk berhenti merokok bukan sahaja elok bermula di bulan puasa tetapi boleh dilakukan pada bila-bila masa.

"Cuma mungkin di bulan puasa, lebih banyak perokok berazam meninggalkan tabiat tersebut mengambil kesempatan ketika mereka berpuasa," katanya.

Beliau berkata menerusi program 24 Jam Berhenti Merokok PPIM, setelah disemai dengan niat yang kuat, sesi 'detoks' selama 12 jam yang disertai antara 15 hingga 20 peserta dalam satu kumpulan akan dijalankan.

"Sesi ini meliputi senaman ringan, zikir terapi serta aktiviti yang boleh menggantikan keseronokan menghisap nikotin," kata Dr Izham.

Beliau juga berkata anggapan bahawa berhenti merokok akan mendatangkan masalah kesihatan lain adalah salah kerana antaranya tiada aktiviti susulan seperti senaman yang dilakukan.

Di bawah program PPIM, peserta turut dibekalkan bahan tambahan kesihatan, katanya dan menambah ubat-ubatan seperti semburan bawah lidah atau tampalan juga tidak digalakkan.

"Menggunakan ubat-ubatan sebenarnya masih memberikan unsur nikotin kepada perokok. Ia masih mempengaruhi perokok dengan bahan lain.

"Di PPIM, kita tidak menggunakan kaedah sebegitu. Kita dapati 70 peratus peserta yang telah dilatih, boleh meninggalkan terus tabiat merokok. Yang paling penting ialah niat untuk berhenti merokok," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...