Thursday, July 3, 2014

2034) METRO 1/07/2014- SSM mahu temui graduan mangsa tipu




SSM mahu temui graduan mangsa tipu

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan mengadakan pertemuan dengan mangsa penipuan licik sebuah syarikat berselindung di sebalik urus niaga mata wang asing (forex) yang memperdaya graduan tempatan dalam masa terdekat.
Ia susulan pendedahan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai wujud syarikat yang menawarkan jawatan eksekutif kepada lepasan universiti, namun ‘membelit’ mereka dengan menawarkan skim pelaburan sehingga menyebabkan mangsa kerugian hampir RM1 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, beliau mengarahkan pegawainya menyiasat dengan lebih lanjut kemungkinan syarikat berkenaan melakukan kesalahan di bawah SSM dan akan mengambil tindakan susulan.
Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima aduan rasmi berhubung perkara itu, namun memberi jaminan membantu sekiranya ada perkara membabitkan bidang kuasa SSM.

“Kami akan lihat perkara ini. Jika ada yang boleh dibantu, kami akan bantu. Bagaimanapun, kami nasihatkan orang ramai berhati-hati ketika berurusan dengan mana-mana syarikat bagi mengelakkan masalah,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan di pejabatnya, semalam.

Muka depan akhbar ini 20 Mei lalu melaporkan lapan graduan kerugian RM1 juta selepas menyertai skim pelaburan ditawarkan syarikat tempat mereka bekerja, di ibu negara.
Mereka melapor diri sebagai pekerja dikejutkan dengan skop tugas mencari pelanggan yang mahu menyertai satu skim pelaburan dijanjikan tawaran jutaan ringgit.

Akibatnya, mereka kini menanggung hutang daripada saudara-mara yang melabur serta pada masa sama terpaksa mencari kerja lain untuk memulakan hidup baru.
Sementara itu, Nadzim berkata, selain SSM, setakat ini aduan berkenaan dirujuk kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Bank Negara untuk siasatan lanjut.

“Kami juga merujuk kes itu kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk siasatan lanjut dan menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dengan tawaran meragukan. Harapan PPIM agar ia menjadi teladan kepada masyarakat,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/01

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...