Friday, July 11, 2014

2046) HARIAN METRO 11/07/2014 - Tauke kolam masih misteri


Headline: Tauke kolam masih misteri
Publication: HM
Date of publication: Jul 11, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 039
Byline / Author: Oleh Mohd Hanafis Abdul Haris


Ipoh: Pengusaha kolam ikan patin di Jalan Ipoh-Batu Gajah di Lahat, dekat sini, yang dikatakan memberi makan bangkai babi kepada ternakan berkenaan sehingga kini masih belum dikenal pasti.

Hasil tinjauan wartawan Harian Metro di kolam itu semalam mendapati keadaan kolam berkenaan masih terbiar kosong tanpa sebarang pengawasan oleh pekerja atau pemilik tanah terbabit.

Bagaimanapun, pintu pagar di laluan masuk kolam itu dilihat dikunci rapi, malah jumlah bangkai ikan di situ juga semakin berkurangan dipercayai dimakan anjing liar sekitar kawasan itu berdasarkan kesan laluan yang jelas kelihatan di dasar kolam berkenaan.

Seorang penduduk, Ammar Mustaqim, 23, berkata, kolam ikan patin yang terletak di atas bukit berhampiran Lahat itu amat popular dalam kalangan masyarakat setempat.

Ammar berkata, kebanyakan penduduk sekitar kawasan itu turut mengetahui berhubung isu penggunaan babi sebagai sumber makanan ikan di sana.

"Namun itu hanya cakap-cakap orang kerana tiada sebarang bukti yang sahih. Cuma selepas kejadian kolam pecah tempoh hari, orang ramai semakin percaya," katanya ketika ditemui, semalam.

Tambahnya, beberapa pasar tani serta pasar besar di daerah itu juga dilihat menjual ikan air tawar termasuk ikan patin.

Malah, dia tidak menolak kemungkinan mereka turut menjual ikan patin dari sumber kolam berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Cawangan Pembangunan Akuakultur Pejabat Perikanan Perak Noraisah Hashim berkata, kolam terbabit didapati berstatus hak milik persendirian selepas pihaknya melakukan pemeriksaan bersama pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, kelmarin.

Bagaimanapun, aktiviti pertenakan ikan patin itu dijalankan secara tidak sah kerana tidak berdaftar dengan Pejabat Perikanan Negeri Perak.

"Pihak kami sentiasa melakukan pemantauan di peringkat daerah, namun masalah selalunya berlaku terhadap pengusaha yang tidak berdaftar," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...