Saturday, July 26, 2014

2069) BERITA HARIAN 26/7/2014 - NASIONAL Badan khas urus permit derma - PPIM



Badan khas urus permit derma
Kerajaan perlu bertindak kawal sebarang permohonan elak berlaku penipuan

Kuala Lumpur: Kerajaan harus menubuhkan satu badan khas bagi mengawal sebarang permohonan atau permit meminta derma yang dilakukan oleh sindiket khususnya membabitkan isu Gaza. 

Badan itu bertujuan membendung kegiatan pihak tidak bertanggungjawab yang mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil kutipan derma daripada orang ramai.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata hal seperti ini banyak berlaku khususnya bila berlaku bencana alam dan peperangan membabitkan negara Islam. 

Sindiket kini lebih kreatif 

Katanya, sindiket kini lebih kreatif dan agresif apabila mengupah individu dengan gaji yang lumayan dan menyuruh mereka meletakkan tabung di pasar malam ataupun di surau dan masjid. 

“Mereka memperoleh hingga jutaan ringgit, duit itu tidak disalurkan kepada kepada penduduk Gaza, sebaliknya untuk kegunaan sendiri. 
“Saya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan ini yang kini semakin membimbangkan,” katanya ketika dihubungi BH, semalam. 

Beliau turut menasihati orang ramai agar meneliti dulu tabung dan permit mereka yang diluluskan kerajaan sebelum menderma. 

Sementara itu, Penganalisis Jenayah, Kamal Affendi, berkata orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dalam memberi derma kepada pusat derma bergerak di sekitar ibu kota. 

“Ini dikhuatiri pusat derma bergerak itu hanya menggunakan gambar mangsa di Palestin untuk mendapat simpati, sebaliknya ia digunakan untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan,” katanya. 

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...