Tuesday, July 8, 2014

2040) BERITA HARIAN 8/7/2014 - Pilih kedai makan ada sijil, logo halal


Headline: Pilih kedai makan ada sijil, logo halal
Publication: BH
Date of publication: Jul 8, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 013

Kuala Lumpur: Umat Islam perlu memastikan restoran, hotel atau kedai makan yang dikunjungi untuk berbuka puasa mempunyai sijil atau logo halal bagi memastikan kesahihan status halal makanan yang disediakan, selari dengan tuntutan syariat Islam.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Ma'amor Osman, berkata tindakan itu perlu kerana berbuka adalah sebahagian daripada ibadat puasa.

Justeru, katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk memastikan setiap juadah untuk berbuka puasa adalah daripada sumber yang disahkan halal dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada diri.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pula perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana kedai makan, restoran atau hotel yang menyalahguna logo halal palsu atau menawarkan bufet Ramadan tanpa kebenaran.

Perlu tindakan tegas

"Tindakan tegas perlu bagi memastikan tiada pihak yang akan ambil kesempatan kaut keuntungan mudah dengan mempromosi bufet Ramadan tanpa kebenaran JAKIM atau MAIN," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan JAKIM menyerbu sebuah restoran terkemuka di ibu negara kerana mempromosi bufet Ramadan tanpa pengesahan sijil halal JAKIM, selain turut menjual minuman keras.

Dr Ma'amor juga mengingatkan umat Islam supaya tidak membazirkan wang dengan mengunjungi restoran atau hotel yang menawarkan bufet Ramadan yang mencecah ratusan ringgit kerana pembuatan itu amat dimurkai oleh Allah.


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...