Tuesday, April 4, 2023

70 BAKAL JEMAAH UMRAH TUNTUT EMRAZ PULANGKAN WANG RM1.8 JUTA - BULETIN TV3 - 04/04/2023

 

KUALA LUMPUR: Kira-kira 70 bakal jemaah umrah menuntut syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) memulangkan wang dianggarkan berjumlah RM1.8 juta selain passport selepas gagal membawa mereka menunaikan ibadah itu seperti dijanjikan.

Seorang daripada mangsa, Sharul Azuan Mohd Said, 46  yang juga Penolong Pegawai Perubatan Hospital Seremban berkata dia sudah membuat bayaran penuh  RM43,000 iaitu bayaran pertama RM25,000 pada 3 Disember lalu dan selebihnya 26 Januari untuk diri, isteri dan tiga anaknya menunaikan umrah.

“Kami jual kereta untuk capai niat tunai umrah pada Ramadan. Sebelum ini, saya memang sudah menunaikan umrah namun dengan agensi lain. Kami mahu mencuba Emraz apabila melihat iklannya di Facebook (FB) yang meyakinkan sebab baru mendapat anugerah cemerlang tahun lalu.

“Seminggu sebelum tarikh penerbangan dijanjikan iaitu 22 Mac, mereka masih tak bagi apa-apa maklumat termasuk visa dan sebagainya menyebabkan saya rasa curiga. Tanya dalam kumpulan sembang WhatsApp pun pihak agensi hanya berdiam diri. Telefon tak berangkat. Apabila pergi ke pejabatnya, kami diberi tarikh penerbangan lain, tunda kepada 29 Mac namun tiba tarikh itu, ditunda lagi ke 1 April kemudian terus senyap. Apabila kita pergi ke pejabatnya, dah tutup,” katanya  yang ditemui ketika membuat aduan di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani isu berkenaan dengan sebaik mungkin.

“Syarikat betul satu hal dan syarikat ‘scam’ pun banyak. Nak tahu ke mana duit (bayaran kepada agensi untuk tunai umrah) itu pergi?

“Saya tidaklah nak mengatakan agensi diadukan ini adalah tak betul, tetapi ia jelas sudah membabitkan kegagalan apabila jemaah gagal tunai umrah. Masalah terkini berkait harga tiket, hotel tetapi ini sebenarnya masalah tahunan yang sewajarnya sudah ada persediaan,” katanya.

Kelmarin, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Emraz selaku Pengelola Jemaah Haji (PJH) sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji.

TH dalam kenyataannya berkata keputusan itu diambil berikutan beberapa aduan awam mengenai perkhidmatan umrah yang diberikan oleh syarikat berkenaan.


Artikel oleh: Buletin TV3

70 BAKAL JEMAAH UMRAH TUNTUT EMRAZ PULANGKAN WANG RM1.8 JUTA

https://www.buletintv3.my/nasional/70-bakal-jemaah-umrah-tuntut-emraz-pulangkan-wang-rm1-8-juta/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...