Tuesday, April 18, 2023

AWAS SCAMMER BAJU RAYA SEDANG BURU MANGSA - UTUSAN MALAYSIA - 13/04/2023

 


PETALING JAYA: Kegiatan penipuan atau lebih dikenali sebagai scammer semakin menjadi-jadi dengan mereka dikatakan semakin rancak melakukan aktiviti itu kepada umat Islam yang sedang menyediakan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kegiatan itu dipercayai membabitkan peniaga perseorangan untuk mengaut keuntungan lebih dengan mudah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, aktiviti penipuan membabitkan tawaran baju hari raya itu dilakukan melalui media sosial dengan iklan yang meyakinkan pengguna.

Katanya, kebanyakan aduan yang diterima berhubung kegiatan itu bagaimanapun tidak melibatkan jenama tertentu.

“Mereka scam pengguna dengan iklankan baju itu murah, tetapi apabila sudah buat pembelian, tak hantar pula. Ada pula dapat saiz tak betul, jadi benda sebegini mungkin sebab stok dan saiz tidak ada atau kadangkala sebab mahu lepaskan stok saja tanpa fikirkan soal saiz.

“Setakat ini kita terima berbelas-belas aduan, mungkin masih rendah, tetapi takut jadi realiti, maka lebih baik kita beri kesedaran dulu.Sebab sesetengah orang itu susah, jadi mereka sangat mengharapkan kalau dapat beli pada kadar harga yang murah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Nadzim meminta orang ramai sentiasa berhati-hati dan lebih berwaspada sekiranya membuat pembelian persiapan sambutan perayaan itu secara dalam talian.

“Kalau boleh cari penjual yang mempunyai reputasi. Apabila mereka ada reputasi, maka mereka tidak akan ambil mudah (untuk menipu pesanan pelanggan).

“Saya tahu kaedah itu tidak adil sebab bukan semua yang scam baju hari raya, yang buat betul-betul, maka kita alu-alukan.

“Cumanya kena hati-hati. Lagi bagus kalau sebelum beli itu rujuk dulu dengan kementerian bertanggungjawab sama ada mereka itu memang benar penjual atau sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membuka mata dan memantau kegiatan penipuan melibatkan persiapan perayaan itu.

Kementerian Komunikasi dan Digital sebelum ini memaklumkan, selain tawaran promosi, scammer akan memaklumkan adanya sekatan penghantaran bungkusan pembelian selepas mangsa membuat pembayaran.

“Mangsa perlu membuat bayaran tambahan dan dijanjikan pulangan wang selepas bungkusan diterima.

“Mangsa menyedari ditipu, scammer sekat mangsa dan tukar identiti lain di media sosial,” kata kementerian itu.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

AWAS SCAMMER BAJU RAYA SEDANG BURU MANGSA 

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL