Tuesday, April 4, 2023

GIMIK MURAHAN IKLAN, JANGAN MUDAH DIMANIPULASI - BULETIN TV3 - 03/04/2023

 

KUALA LUMPUR: Tindakan penganjur yang sewenang-wenangnya melakukan promosi dengan gimik murahan baru-baru ini, mengundang kecaman pelbagai pihak.

Bagi pengguna kekecewaan sudah pasti dirasai, jika tidak mendapat promosi sebagaimana yang dijanjikan.

Siapa yang perlu dipersalahkan atas natijah disebalik iklan semborono yang mengundang manipulasi jualan.

Justeru, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan menasihatkan agar pengguna menjadi bijak.

Yang dimaksudkan beliau, tidak mudah terpedaya dengan gimik ‘murahan’ yang hanya mengundang tipu daya.

“Tindakan sebegini hanya mengundang keuntungan berlipat ganda kepada peniaga namun hanya merugikan pembeli dikemudian hari.

“Oleh itu, selaku pengguna bijak, kami menggesa agar pengguna sentiasa berada dilandasan ‘waras’ iaitu memahami kaedah pembelian mana yang menguntungkan mahupun boleh merugikan mereka,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Untuk rekod, semua promosi yang menawarkan jualan murah sebenarnya perlu mengikut tertib sebagaimana ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Dalam satu kenyataan KPDN memaklumkan, peniaga perlu mengantar notis kepada agensi itu.
Ketetapan lain termasuk, tiada elemen-elemen yang boleh mengelirukan atau penggunaan pernyataan palsu.

Bagi peniaga yang mengadakan jualan murah bersyarat pula, tawaran diskaun perlu diberi dengan apa-apa syarat pembelian iaitu sama ada melalui kupon atau baucer diskaun.

Kelmarin, tular di media sosial, kekecohan kira-kira 500 pelanggan yang menyerbu sebuah kedai pakaian di Seksyen 7, Shah Alam.

Tindakan mereka difahamkan bagi mendapatkan promosi hari raya seawal kedai itu dibuka bermula jam 10:30 pagi.

Bagaimanapun promosi hanya untuk 100 pelanggan pertama dengan harga satu ringgit bagi sepasang pakaian.

Manakala 50 pelanggan berikutnya akan mendapat baju kurta dan telefon bimbit berjenama popular percuma.


Artikel oleh: Buletin TV3

GIMIK MURAHAN IKLAN, JANGAN MUDAH DIMANIPULASI

https://www.buletintv3.my/nasional/gimik-murah-iklan-jangan-mudah-dimanipulasi/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...