Kuala Lumpur: Peniaga mendakwa mengenakan caj
pemotongan ayam bagi mengelak keuntungan kecil kerana mereka turut dikenakan
caj penghantaran oleh pemborong.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad
Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya mendapati caj perkhidmatan iaitu sekitar 60
sen sehingga RM1 dikenakan peniaga terhadap pengguna bagi seekor ayam.
"Apabila ditanya, peniaga ayam mendakwa mereka
terpaksa mengenakan caj untuk potong ayam disebabkan mereka pun dikenakan caj
penghantaran oleh pemborong sehingga menyebabkan untung mereka menjadi kecil.
"Kalau ayam itu dijual contohnya seekor dengan
seberat 1.7 kilogram (kg). Jadi ayam itu yang sepatutnya berharga kira-kira
RM16.40 akan menjadi RM17 sebab 60 sen dikenakan caj perkhidmatan dan ada juga
yang caj lebih tinggi," katanya.
Menurutnya, tindakan peniaga ayam kini seolah-olah
menormalisasikan caj potong ayam antara 60 sen hingga lebih RM1 untuk pelanggan
dengan alasan cuba menampung kerugian.
Beliau berkata, sedangkan kerajaan sudah menetapkan
harga siling ayam RM9.40 sekilogram dan apabila dikenakan caj memotong ayam
secara automatik harganya meningkat sehingga menyebabkan pengguna merungut.
"Pihak penguatkuasaan kena turun padang dan
pantau apa yang sedang berlaku di lapangan seterusnya mengambil tindakan
sewajarnya.
"Kalau tengok harga pemborong sekarang ini
adalah sekitar RM8.70 ke RM8.90 sekilogram dan peniaga ayam dicaj pula kos
penghantaran oleh pemborong yang sebelum ini caj itu tidak dikenakan kepada
mereka.
"Jadi peniaga ayam ini mendakwa mereka juga
terbeban. Oleh itu kita harap pihak berkuasa pantau perkara ini dan cuba
selesai," katanya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) Datuk Nadzim Johan turut meminta supaya kerajaan memantau perkara itu
daripada terus berlarutan hingga membebankan pengguna.
"Memanglah tidak wajar kenakan caj potong ayam
tetapi peniaga juga untung sangat kecil.
"Agensi kerajaan berkaitan kurang berfungsi
seperti yang sudah diamanahkan sebaliknya banyak mengikut telunjuk kartel yang
mengawal pasaran.
"Ia tidak boleh dibiarkan kerana pasti ia akan
menjadi sesuatu keadaan yang tidak terkawal pada satu masa nanti,"
katanya.
Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan pengguna
mengeluh apabila peniaga ayam mengenakan caj pemotongan serta mempersoalkan
kewajarannya ketika bekalan bahan makanan itu didakwa tidak berdepan masalah.
Tinjauan Harian Metro di pasar basah sekitar ibu
kota menunjukkan rata-rata peniaga ayam meletakkan caj pemotongan antara 60 sen
sehingga RM1.10.
CAJ POTONG AYAM SEBAB PEMBORONG CAJ PENGHANTARAN
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/04/954979/caj-potong-ayam-sebab-pemborong-caj-penghantaran
No comments:
Post a Comment