Kuala Lumpur: Lebih 20 along wanita dikesan aktif
mengumpan mangsa untuk membuat pinjaman di ibu negara sejak dua tahun lalu.
Mereka dikatakan lebih agresif dan akan mengugut
peminjam yang gagal melunaskan bayaran atau memberikan wang yang diminta
biarpun hutang dibayar mengikut jadual.
Nama-nama seperti Emma, Wendy, Winnie, Sherry dan
Amoi kini dikatakan sangat popular apatah lagi dengan kewujudan puluhan
aplikasi yang menyediakan pinjaman tanpa lesen di media sosial.
Mendedahkan perkara itu Setiausaha Kerja Persatuan
Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Muhammad Zharif Johor berkata, dapatan terbaru
pihaknya mendapati, along wanita berkenaan lebih licik memperdaya mangsa yang
kesempitan untuk mendapatkan wang.
Katanya, dengan tawaran pinjaman serendah RM150,
along wanita terbabit akan 'berlakon' baik di depan mangsa sebelum menunjukkan
perangai mereka yang sebenar.
"Lima nama ini memang popular di Lembah Klang.
Mereka tidak mengendahkan sebarang perbincangan untuk membantu pengadu sebaliknya
mencabar aktivis kita untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan.
"Ada yang menjadi dalang kes simbah cat tanpa
rasa takut kepada undang-undang. Kebanyakannya sudah mengambil alih fungsi
telefon bimbit mangsa dan menggunakannya untuk mengugut mereka.
"Daripada seorang wanita lembut yang bercakap
di hujung talian, mereka bertukar menjadi bengis dan mendesak supaya bayaran
dibuat secepat mungkin," katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, fenomena wanita mendominasi
'industri' along ini dikesan sejak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
pada 2020 dan sejak itu jumlah mereka semakin bertambah.
Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Zaima,
30-an berkata, dia meminjam RM3,000 menerusi satu aplikasi Februari lalu.
Dia kemudian dihubungi seorang wanita yang
memperkenalkan diri sebagai perunding pinjaman dan pada peringkat awal semuanya
berjalan lancar.
"Tidak lama kemudian, saya dipaksa untuk
membayar lebih daripada ansuran biasa dan kadar itu semakin meningkat selepas
itu.
"Sebelum ini suara wanita itu lembut, tapi
sejak bayaran saya bermasalah, saya ditengking, diugut dan dihambur dengan
kata-kata kesat.
"Tidak sangka pula saya berdepan dengan
seseorang yang menjerit sepanjang perbualan di telefon. Terkejut juga apabila
PPIM maklumkan ramai lagi along wanita di negara ini," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
20 ALONG WANITA AGRESIF, 'LANGSI' DI LEMBAH KLANG
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/04/953812/20-along-wanita-agresif-langsi-di-lembah-klang
No comments:
Post a Comment