Wednesday, April 19, 2023

PPIM GESA GUGURKAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG BERKAITAN VAKSIN COVID-19 - PPIM - 19/04/2023

Kuala Lumpur, 18 April -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan sidang media untuk menggesa kerajaan menggugurkan tindakan undang-undang terhadap semua pihak berkaitan vaksin COVID-19.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi berkata, rakyat sudah banyak tertekan akibat Covid dan tindakan kerajaan terhadap mereka hanya menambahkan beban rakyat tanpa membantu menyelesaikan masalah yang lebih besar.

"Apa yang boleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) capai dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap pakar perubatan yang memberi pendapat peribadi beliau mengenai vaksin? Apakah doktor semua kena tutup mulut jika mereka tidak bersetuju dengan KKM? Apakah mereka semua robot yang tidak mampu berfikir? " katanya.

Nadzim menegaskan sia-sia latihan dan pengajian perubatan yang dijalani pakar perubatan jika mereka tidak dibenarkan menyuarakan pendapat profesional mereka.

Selain itu, Nadzim turut mendesak KKM untuk menjelaskan isu vaksin COVID-19 yang kini menjadi debat hangat di luar negara.

“Rakyat dah lah susah. Rakyat dah lah banyak masalah. Kemudian dimasukkan pula dengan benda-benda yang tiada jawapan. Jadi di Parlimen Kesatuan Eropah sendiri mengatakan vaksin itu tidak diuji. Kenapa vaksin yang tidak diuji dan telah diberi? Kita nak pengesahan betul atau pun tidak? Menteri baru (Dr. Zaliha Mustafa) kena jawablah. Menteri baru tolong jawab kerana rakyat terus begitu juga. Menteri mungkin bertukar jadi kita mahu pihak menteri tolong jawab supaya kita dapat hala tuju yang jelas.

Nadzim turut mempersoalkan mengenai perkembangan dunia luar mengenai vaksin.

"Jika dulu orang ramai disuruh ambil vaksin tetapi apabila dunia luar sudah tidak menggalakkan pengambilan vaksin, mengapa kita di Malaysia masih teruskan vaksin? Sebagai contoh di New South Wales," katanya.

Tambah Nadzim, di Singapura sudah ada dua kes pembayaran gantirugi yang diberikan kerajaan kepada mangsa vaksin yang terkesan. 

Tetapi di Malaysia hanya bantuan kewangan yang diberikan. Bukan gantirugi seperti dijanjikan. Jadi ini yang kita nak pengesahan mengenai bayaran gantirugi yang boleh dibuat?

“Sejauh mana keberkesanan vaksinasi yang kerajaan bayar bernilai RM5.8 Billion dan bagaimana pula dengan vaksin yang tak pakai bernilai RM600 juta?

“Kita hendak maklum balas daripada KKM terhadap semua maklumat dan mengesahkan mengenai maklumat tersebut," tegasnya.

Selain vaksin, Nadzim turut mempersoalkan mengenai penahanan penggunaan Ivermectin yang terbukti berkesan bagi melawan COVID-19.

Beliau turut memohon penjelasan daripada kerajaan dan pengurusan Tabung Haji mengenai kewajipan suntikan vaksinasi COVID-19 terhadap bakal jemaah haji. 

“Kita terima banyak aduan daripada mereka yang nak pergi Haji. Ada kenyataan kata mereka digalakkan (cucuk Vaksin COVID-19). Ada yang kata – ini kena (wajib) cucuk vaksin. Dia kata Arab Saudi yang tetapkan. Bila kita check Arab Saudi minta 2 dos sahaja. Yang kita minta cucuk 4 dos. Jadi saya pun tak faham apa masalah sebenarnya ini," katanya.

Menurut Nadzim perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan dan dijelaskan oleh pihak kerajaan kepada semua pihak dengan jelas. Ini kerana ia melibatkan nyawa dan kesihatan manusia. Sepatutnya tiada paksaan dalam hal ini.

Nadzim memetik statistik yang diterima daipada Jabatan Statistik Negara dan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan kadar kematian yang meningkat dari tahun 2020 hingga 2021 iaitu sebanyak 34.8%. 

"Pada tahun 2020 kadar kematian adalah sebanyak 166,507 kematian. Manakala pada tahun 2021 kadar kematian meningkat kepada 224,569 kematian, kami memohon penjelasan lanjut daripada KKM mengenai hal ini," katanya.

Selain itu, mengenai statistik kelahiran yang menurun. Statistik menunjukkan pada tahun 2020 kadar kelahiran sebanyak 470,195 kelahiran. Manakala pada tahun 2021 kadar kelahiran sebanyak 439,744. Iaitu penurunan sebanyak 6.47%. 

"Apa punca kelahiran negara semakin menurun selepas rakyat diberikan suntikan vaksin, atau rakyat takut untuk berkeluarga kerana bimbang risiko Covid," katanya. Tambah beliau, mengikut Fatwa Kerajaan Negeri Pahang – pengambilan vaksin COVID-19 tidak diwajibkan.

"Mengikut fatwa tersebut, hukum pengambilan vaksin adalah harus. Ia dibenarkan tetapi tidak diwajibkan. Maknanya haram jika diwajibkan.

"Atas semua sebab-sebab dan persoalan-persoalan yang dihuraikan di atas, PPIM menggesa Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara untuk membatalkan segala pendakwaan terhadap mereka yang dituduh berkaitan isu vaksin dan Ivermectin," katanya dalam satu sidang media di Pejabat PPIM di sini.

Sidang media yang telah berlangsung di Pejabat PPIM, Kondominum Villa Puteri dihadiri oleh Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi, Dr. Roland Victor, Dr. Sani Ashari, Puan Zaharah dan Tuan Mahmud (dari NGO PEMBELA).

Dr. Roland yang kini menghadapi tuduhan jenayah kerana kenyataannya mengenai Vaksin Covid-19  menjelaskan pakar-pakar perubatan di Malaysia memerlukan statistik data kematian dan kelahiran di Malaysia pada kadar segera kerana ia akan membantu doktor-doktor di Malaysia membuat keputusan atas tindakan yang mereka ambil.

"Jika statistik data kematian dan kelahiran ini lewat diperolehi maka doktor-doktor atau pakar perubatan tidak tahu kesan tindakan yang mereka buat dalam memberi vaksinasi kepada rakyat Malaysia," katanya

Sehubungan itu, beliau menggesa  kerajaan untuk mendesak KKM mengeluarkan laporan statistik data mortaliti & kelahiran Malaysia bagi tahun 2017 hingga 2022.

Selain itu, kerajaan perlu mempertimbangkan pampasan kepada mangsa AEFI vaksin COVID-19 dan hentikan program vaksinasi COVID-19.

"Saya turut menggesa kerajaan melihat semula beberapa kes mahkamah yang melibatkan rakyat dengan KKM berkaitan vaksinasi dan Ivermectin," katanya.

Dr. Roland berkata beliau berharap kerajaan dan pihak berwajib dapat menjelaskan segera semua persoalan rakyat mengenai isu ini.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...