Monday, February 7, 2022

JANGAN BIAR SIMPANAN KWSP MENJADI BUNGA AHLONG - KENYATAAN MEDIA PPIM 06/02/2022

KUALA LUMPUR, 5 Februari 2022 – Kekalutan kemelut wabak COVID-19 kini telah membuatkan Ahlong menjadi lebih licik dalam meneruskan agenda mereka dalam mengambil peluang untuk mengaut keuntungan dengan memerangkap pengguna yang mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam keadaan sebilangan rakyat yang hilang punca pendapatan akibat kehilangan pekerjaan, perniagaan yang merosot atau sebab-sebab lain dari wabak ini, Ahlong-Ahlong ini telah tampil menawarkan “skim-skim” pinjaman yang boleh dibayar balik sewaktu tiba tempoh pengeluaran wang KWSP tersebut.

Mereka menawarkan seolah-olah mereka adalah seperti institusi-institusi kewangan profesional atau menggunakan nama perempuan Melayu, salah satu taktik untuk memikat pelanggan Melayu yang sering terkait dengan gejala kesuntukan dan masalah kewangan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius akan perkara ini kerana dalam keadaan biasa pun ramai yang terperangkap dengan taktik Ahlong ini apatah lagi jika ada sandaran kewangan yang pasti akan membolehkan penyimpan KWSP membayar balik pinjaman, sudah tentu dengan kadar bunga yang berlipat kali ganda dan tidak munasabah.

Kami ingin mengingatkan kepada para pengguna supaya janganlah terpedaya dengan iklan-iklan yang telah dipaparkan oleh Ahlong-Ahlong ini dan mencari kaedah lain untuk menyelesaikan masalah kewangan kita.

Iklan yang dipaparkan itu seolah-olah mereka adalah dari badan-badan kewangan yang profesional dan apa yang mereka tawarkan seolah-olah sama dengan apa yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan yang berlesen cuma mereka terlalu memberikan kelonggaran yang amat ketara.

Kami juga menyarankan pihak kerajaan agar menimbang secara serius akan permintaan para pendeposit yang menghadapi masalah kewangan untuk meluluskan pengeluaran mereka agar wang simpanan mereka tidak jatuh ke tangan Ahlong dalam bentuk kadar bunga yang melangit.

Kementerian Kewangan seharusnya memberikan pertimbangan khusus kepada kebenaran untuk para pendeposit untuk mengeluarkan wang mereka sendiri kerana rata-rata masih ramai lagi antara rakyat negara ini masih terkesan dengan pandemik COVID-19 ini.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...