Wednesday, February 9, 2022

CIMB DIGESA NYAHBEKU AKAUN PELANGGAN - GETARAN - 05/02/2022

 

KUALA LUMPUR - Tindakan CIMB Bank Berhad (CIMB) membekukan ribuan akaun pelanggan mereka tanpa sebarang notis bukan sahaja menjejaskan malah tidak wajar dilakukan bank berkenaan.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Agenda Reset Malaysia (ARM) yang mengecam tindakan tersebut, menggesa supaya bank berkenaan segera menyahbekukan akaun pelanggan mereka.

Ketua ARM, Datuk Ramalan Yunus mendakwa, CIMB membekukan lebih 11,000 akaun pelanggan mereka sejak seminggu lalu, berpunca daripada kesilapan pemprosesan bank itu sendiri.

“Isu ini timbul disebabkan kesilapan CIMB sendiri yang menyebabkan akaun orang ramai dibekukan dan pemegangnya terpaksa berhutang kerana ‘jumlah lebihan’ yang dikreditkan oleh bank ke dalam akaun mereka.

“Walaupun dengan alasan itu, CIMB tidak boleh terus membekukan akaun pelanggan mereka tanpa notis serta memberikan tempoh masa untuk mereka menyelesaikan hutang,” katanya pada sidang media bersama PPIM hari ini.

Ramalan turut memberi amaran jika bank tersebut gagal menyelesaikan masalah terbabit, pihaknya akan melancarkan kempen meminta rakyat memboikot institusi berkenaan.

Katanya, pihak bank juga seharusnya mengeluarkan kenyataan rasmi atau pengumuman mengenai kesilapan dilakukan mereka.

“Jika benar CIMB mengalami masalah sistem atau teknikal, mereka harus membuat satu kenyataan terbuka dengan memaklumkannya kepada orang ramai.

“Jika pihak bank mendakwa ia sebagai ‘scam’, mereka seharusnya membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, CIMB perlu bertanggungjawab di atas kesilapan dilakukan mereka.

“Tidak kira sama ada disebabkan kecuaian bank atau kegagalan sistem atau masalah teknikal, CIMB perlu bertanggungjawab dan membetulkan kesilapan.

“Bukan hanya CIMB, malah Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memberikan jawapan kerana ia adalah badan penyelia untuk semua bank,” katanya.

Nadzim berkata, sejak minggu lalu, PPIM menerima aduan daripada lebih 3,000 orang mengenai isu pembekuan akaun CIMB mereka.

“Jumlah mangsa sebenarnya mungkin lebih tinggi dan setakat pengetahuan kami, ada lebih 11,000 pengguna.

“Ada yang kerugian ratusan ribu, malah jutaan ringgit. Nilai tertinggi kerugian yang kami terima adalah sebanyak RM7 juta,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan dakwaan tular di media sosial bahawa terdapat 11,000 akaun pelanggan CIMB dibekukan sejak Isnin lalu malah segelintir daripadanya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya mereka berhutang ribuan ringgit kepada bank itu. - Getaran, 5 Februari 2022


Artikel oleh: Getaran

CIMB DIGESA NYAHBEKU AKAUN PELANGGAN

https://www.getaran.my/artikel/semasa/18798/cimb-digesa-nyahbeku-akaun-pelanggan

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...