Wednesday, February 9, 2022

BNM PERLU PANTAU BANK TEMPATAN BERI PINJAMAN TANPA CAGARAN - GETARAN - 05/02/2022

BANGI - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pinjaman tanpa cagaran diberikan bank kepada syarikat Genting Hong Kong (GHK), baru-baru ini.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berpandangan, terdapat keperluan untuk Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan pemantauan dan lebih berhati-hati terhadap tindakan bank tempatan yang dibenarkan memberi pinjaman tanpa jaminan serta cagaran.

“Sekiranya dipandang sepi, bank tersebut akan mengambil kesempatan dengan memberi bebanan tinggi kepada pelanggan mahupun peminjam bagi mengaut keuntungan semula akibat mengalami kerugian.

“Perkara itu akan menyebabkan masalah sosial berlaku di mana orang akan mula meminjam daripada ah long. Kenyataan Tengku Zafrul juga seolah-olah beliau masih seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) walaupun kini memegang jawatan Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Getaran selepas majlis pelancaran Forum Malaysia Sejahtera Tanpa Arak di Bangi Resort Hotel di sini, hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran kepada GHK kerana ia dibuat sebelum pandemik COVID-19.

Malah, beliau menegaskan, isu pinjaman tanpa cagaran bukan sesuatu yang luar biasa dalam sektor perbankan.

Beliau berkata, bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan institusi kewangan tersebut mengambil risiko di peringkat dalaman (risk appetite), penilaian kredit yang memenuhi kriteria dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.

Tengku Zafrul memaklumkan, apa harus diingat adalah bukan sahaja bank tempatan yang memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada GHK, malah membabitkan bank dari luar negara.

Katanya, semua bank itu juga perlu mematuhi garis panduan dalaman dan garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman.

Dalam pada itu, ditanya pelaksanaan berkenaan pelaksanaan caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang tunai antara bank (MEPS) di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), Nadzim berkata, tindakan berkenaan dilihat sebagai tidak prihatin kepada keadaan semasa rakyat.

Menurut beliau, orang ramai ketika ini masih bergelut dengan kekurangan tunai dan peluang pekerjaan rendah serta peningkatan harga barangan keperluan secara berterusan.

“BNM dan semua bank tempatan perlu wujudkan elemen kemanusiaan bagi kita membantu mereka yang dalam kesusahan walaupun jumlah itu dilihat sedikit.

“Isu ini adalah perkara utama perlu dipandang serius pihak bank. Bukan tahu nak cari keuntungan sahaja, namun perlu ada sifat kemanusiaan dalam menolong mereka yang terbeban akibat kesan COVID-19,” katanya.

Tambah beliau, terdapat keperluan mewujudkan peruntukan undang-undang bagi membela nasib mereka yang ditindas oleh institusi perbankan terbabit.

“Ia sebagai langkah untuk membantu golongan peminjam teraniaya dan kaedah bagi melaksanakannya perlu dikaji,” katanya. - Getaran, 5 Januari 2022.


Artikel oleh: Getaran

BNM PERLU PANTAU BANK TEMPATAN BERI PINJAMAN TANPA CAGARAN

https://www.getaran.my/artikel/semasa/18780/bnm-perlu-pantau-bank-tempatan-beri-pinjaman-tanpa-cagaran

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...