Wednesday, February 2, 2022

PPIM PERSOAL PINJAMAN TANPA CAGARAN GENTING HK - BERITA 757 - 28/01/2022

 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan tindakan tiga bank milik negara iaitu Maybank, RHB dan CIMB yang memberi pinjaman tanpa cagaran bernilai RM2.51 bilion kepada Genting Hong Kong adalah tidak wajar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ia menunjukkan bahawa pihak bank hanya lebih tertarik memberi pinjaman kepada konglomerat besar daripada memberikan pinjaman kepada peniaga kecil tempatan.

“Peniaga kecil yang ingin memohon pinjaman sekecil-kecil akan diminta untuk mengemukakan cagaran, tetapi pihak konglomerat seperti Genting Hong Kong dan lain-lain diberikan pinjaman tanpa cagaran begitu sahaja.

“Inilah sikap bank yang begitu memandang serong terhadap peniaga di negara sendiri dan 'menyanjung' jerung-jerung besar antarabangsa seolah-olah kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa tiga bank Malaysia dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong, dengan gabungan pendedahan sebanyak AS$600 juta (RM2.5 bilion).

Pada masa sama, PPIM berkata, situasi itu telah menimbulkan pelbagai persoalan apatah lagi pemegang saham kepada ke tiga-tiga bank tersebut adalah terdiri daripada kumpulan permodalan rakyat Malaysia yang terbesar iaitu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tabung Haji (TH).

“Menteri Kewangan harus mengambil tanggungjawab memikirkan cara mendapatkan semula pinjaman tersebut agar wang simpanan hari tua dan modal pelaburan rakyat negara ini tidak terjejas,” katanya.

#Berita757 #RakyatKeutamaanKami #Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)


Artikel oleh: Berita 757

PPIM PERSOAL PINJAMAN TANPA CAGARAN GENTING HK

https://www.facebook.com/berita757/posts/266760482252167

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...