Wednesday, February 9, 2022

CIMB BAKAL DIANCAM BOIKOT - BEBAS NEWS - 05/02/2022

 

KUALA LUMPUR – CIMB Bank Berhad (CIMB) berdepan dengan ancaman boikot selepas tindakannya membekukan 11,000 akaun tanpa memaklumkan kepada pemegang akaun dipersoal oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Tindakan pembekuan dilaporkan berpunca daripada kesilapan pemprosesan bank itu sendiri.

Menurut NGO, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Agenda Reset Malaysia (ARM) pihaknya memberi amaran jika bank itu gagal menangani masalah yang memihak pemegang akaun, mereka akan melancarkan kempen meminta rakyat memboikot institusi kewangan berkenaan.

Difahamkan juga masalah tersebut timbul selepas kesilapan CIMB sendiri yang menyebabkan akaun dibekukan dan pemegangnya berhutang kerana “jumlah berlebihan” yang dikreditkan oleh bank ke dalam akaun pemegang-pemegang terlibat.

Ketua ARM, Ramalan Yunus berkata, CIMB sewajarnya tidak boleh terus membekukan akaun pelanggan mereka tanpa notis yang secukupnya, lapor FMT.

Menurutnya, jika CIMB tidak jujur kepada pelanggannya tentang apa sebenarnya berlaku, pihaknya akan meneruskan usaha untuk menyeru semua pelanggan mereka mengeluarkan wang daripada bank.

“Kita patut memboikot CIMB dan memindahkan semua wang kita kepada bank lain untuk memberi pengajaran.

“Jika CIMB dan kerajaan membisu mengenai isu ini, kami akan menggerakkan gerakan ketidakpatuhan awam,”katanya dalam sidang akhbar bersama tersebut.

Sementara itu Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau Toqqi berkata, CIMB perlu bertanggungjawab di atas kesilapan yang dilakukannya.

“Sama ada disebabkan kecuaian bank atau kegagalan sistem, CIMB perlu bertanggungjawab dan membetulkan kesilapannya.

“Bank Negara juga perlu memberikan jawapan kerana ia adalah badan penyelia untuk semua bank,”ujarnya.

Khamis lalu, Bank Negara (BNM) memberitahu pihak media bahawa CIMB kini cuba mendapatkan semula jumlah lebihan yang dikreditkan kepada pelanggan mereka.

Jelas BNM, pihaknya telah meminta CIMB memastikan bahawa apa sahaja langkah “pemulihan” yang diambilnya tidak akan membebankan pelanggan, terutama mereka tidak menyedari lebihan wang telah dikreditkan ke dalam akaun mereka.

Pihak BNM memaklumkan, bahawa siasatan terhadap insiden terbabit sedang dijalankan dan ia akan mengambil tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan yang sewajarnya (terhadap CIMB) jika perlu.

CIMB berkata, ia telah menemui “ralat pemprosesan”, yang menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka. – BebasNews


Artikel oleh: Bebas News

CIMB BAKAL DIANCAM BOIKOT

https://bebasnews.my/2022/02/05/cimb-bakal-diancam-boikot/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...